DAP Selamatkan Reputasi Muhyiddin!

KUALA LUMPUR – DAP cuba menyelamatkan reputasi Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada tercemar dalam kalangan ahli UMNO gara-gara tindakan parti itu mengumumkan kerjasama dengan Muhyiddin.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mengumumkan kerjasama itu semalam mendakwa kononnya beliau tidak pernah menyebut Muhyiddin adalah rekrut baharu DAP bagi menumbangkan UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pengumuman berkenaan.

“Saya tidak pernah kata bahawa Muhyiddin adalah rekrut terbaru saya semasa ucapan di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina, Pakatan Harapan, Johor pada malam Ahad lalu.

“Hanya mereka yang paling bodoh dan tidak memahami bahasa Inggeris akan membuat kesimpulan seumpama itu,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kit Siang mendakwa beliau dalam pengumuman semalam cuma berkata: “Rekrut terbaru untuk agenda SELAMATKAN MALAYSIA adalah tidak lain daripada bekas Timbalan Perdana Menteri”.

Ungkapan SELAMATKAN MALAYSIA bagaimanapun merupakan slogan propaganda diguna pakai DAP dalam menghasut ahli UMNO supaya menumbangkan parti sendiri pada pilihan raya umum yang akan datang.

Lucunya, Kit Siang dalam kenyataannya hari ini tidak pula menafikan beliau ada menyebut parti itu akan mengadakan kerjasama dengan Timbalan Presiden UMNO dan pasukannya bagi menjatuhkan Presiden UMNO dalam pengumuman semalam.

Mynewshub.cc semalam melaporkan DAP mengumumkan parti itu akan mengadakan kerjasama dengan Muhyiddin serta pasukannya untuk tujuan itu.

Kit Siang dipetik berkata, pada dasarnya terdapat tiga subjek yang menjadi persamaan antara Muhyiddin dan UMNO Johor dengan DAP untuk menyerang Najib waktu ini iaitu dalam isu derma politik, 1MDB dan SRC International.

Kata Kit Siang, kerjasama dengan Muhyiddin dan UMNO Johor secara tidak langsung akan memberi ruang kepada DAP dan Pakatan Harapan memperluaskan penguasaannya di Johor. – mynewshub.cc

Baca: Muhyiddin Bakal Jalin Kerjasama Dengan DAP?

Juga: Muhyiddin Nafi Kerjasama Dengan DAP