Dana Pembangkang Turun Dari Langit Atau Ayah Pin? – Isa Samad

TELAHAN sesetengah pihak tentang dana yang didepositkan ke akaun milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dari sumber syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ternyata meleset apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengkhabarkan bahawa ia adalah dari sumbangan penderma.

Cerita tersebut langsung tidak memberikan reaksi positif kepada pembangkang yang terus-terusan melanyak isu itu dan mempertikaikan sumbangan datang dari siapa dan atas tujuan apa.

SPRM Sahkan Najib Tak Ambil Wang 1MDB

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak

Memberi pandangan dalam isu tersebut, Pengerusi FELDA Tan Sri Mohamad Isa Abdul Samad berkata, ia langsung tidak mengejutkan apabila pihak yang tidak sealiran dengan Perdana Menteri masih mencari helah dan idea baru bagi terus menaikkan isu berkenaan.

“Ramai yang memikirkan termasuk media baru seolah-olah wang peribadi yang dimasukkan ke akaun Datuk Seri Najib itu adalah wang 1MDB.

“Jadi, bila mereka fikirkan begitu, sedaplah mereka (pembangkang) nak melanyak Perdana Menteri guna isu tersebut. Bila jangkaan mereka tak betul, sebab itu mereka marah dan melatah tanya ke benda-benda lain pula,” ujar beliau seperti dilaporkan portal BNBBC.

Dalam pada itu, menurut Isa, sumbangan pihak luar terhadap Perdana Menteri merupakan satu senario normal dan dilakukan bagi meneruskan kelangsungan parti pimpinannya.

“Orang macam saya memang tahu, orang pernah jadi Menteri Besar, Pengerusi, jadi kita tahu, takkan orang macam Perdana Menteri tidak reti mengasingkan sumbangan dana politik? Takkan dia nak ambil?

“Cuma siasatan SPRM itu tidak memenuhi hasrat pihak mereka yang menentang, jadi mereka kecewa, timbul pula isu yang lain.”

Selain itu, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu turut bersetuju dengan cadangan yang dilontarkan Najib supaya pihak pembangkang sama-sama mengisytiharkan sumber dana yang diperolehi mereka.

Ini kerana, pastinya setiap parti politik dibantu pihak tertentu untuk meneruskan aktiviti mereka, lantas tindakan pihak pembangkang mempersoalkan tentang dana dalam akaun PM dianggap tidak wajar.

“Kalau mereka nak kita isytihar, kita sama-sama isytihar. Kalau kita tengok pembangkang, poster mereka cantik-cantik, warna-warni lagi.. takkan duit turun dari langit, takkan pula dari Ayah Pin?” soal Isa. – MYNEWSHUB.CC

Laporan Buletin Utama Tentang Dana Dalam Akaun Najib Razak

https://www.youtube.com/watch?v=f0c4dJpHgjA

Loading...