Dakwaan SPR Berat Sebelah Untuk Burukkan UMNO

PONTIAN – Dakwaan pembangkang mengenai persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang berat sebelah dan mahu memenangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) hanya bertujuan untuk memburukkan UMNO.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata niat pihak pembangkang ialah mahu menimbulkan keraguan dan menyemai dalam minda rakyat agar percaya kerajaan sebenarnya menguasai badan bebas itu.

“Saya nak ulang balik, kalau kita boleh kuasai SPR, jangankan risau pada persempadanan semula, kita juga boleh menang pilihan raya,” kata beliau dengan sinis selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Pontian di sini hari ini.

Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata dakwaan pembangkang itu telah bermula dari dahulu lagi.

“Mereka (pembangkang) timbulkan persoalan ini supaya menimbulkan perasaan tidak enak kepada rakyat dan masyarakat yang akhirnya tidak percaya kepada kerajaan.

“Bila mula tidak percaya kepada kerajaan, mereka (rakyat) akan bertindak menolak wakil BN pada pilihan raya yang akhirnya undi tersebut akan berpihak kepada pembangkang,” kata Razali.

Ahli Parlimen Muar itu juga berkata bukan sahaja pembangkang, tetapi mana-mana pihak juga boleh mengemukakan bantahan sekiranya tidak berpuas hati dengan proses persempadanan semula yang kini sedang berlangsung.

Razali berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang semalam yang mendakwa persempadanan semula bagi Pilihan Raya Umum ke-14 berat sebelah bagi mengekalkan UMNO berkuasa.

Selain itu, Kit Siang mendakwa persempadanan semula Pagoh bermotifkan politik dan mahu membunuh karier politik bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila jumlah pengundi di situ dikatakan berkurangan berbanding pilihan raya lepas.

SPR mula mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah selama satu bulan bermula Khamis lepas (15 September) hingga 14 Oktober.

Menurut SPR, bantahan mesti sampai kepada badan itu dalam masa sebulan bermula dari 15 September hingga 14 Oktober ini.

Terdahulu, Razali merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Pontian di Maktab Rendah Sains Mara, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian, Datuk Ir. Hasni Mohammad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri dan juga Datuk Ahmad Maslan, yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. – BERNAMA

Loading...