BN Perak Kempen Secara Lokaliti, Tak Heboh

LUMUT – Barisan Nasional (BN) Perak sentiasa menggunakan pendekatan secara lokaliti berbanding propaganda dan himpunan besar seperti yang dilakukan pembangkang sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Rabu ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pendekatan tersebut mendapat maklum balas positif daripada rakyat di mana jentera parti digerakkan di setiap kawasan komuniti dalam mendekati dan meraih sokongan rakyat.

Beliau yang juga calon kerusi Parlimen Lumut dan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor berkata demikian dalam sidang media selepas menyantuni penduduk Kampung Telaga Nenas, di sini hari ini.

Terdahulu, Zambry turut menyantuni rakyat di Lumut.

Katanya, pembangkang sentiasa meletakkan indikasi jumlah kehadiran rakyat di himpunan yang diadakan mereka sebagai tanda sokongan daripada rakyat.

Sebaliknya, beliau berkata rakyat akan membuat penilaian melalui keyakinan mereka terhadap calon dan parti yang bertanding yang diterjemahkan melalui jumlah undi semasa hari pengundian nanti.

“Bukan semata-mata himpunan besar dalam usaha mengubah persepsi seolah-olah mereka mempunyai sokongan yang besar tetapi dalam tradisi BN Perak, kita telah beri perkhidmatan terbaik melalui program permukiman dan turun ke padang,” katanya. – BERNAMA