Thursday, March 28, 2024

Creating liberating content

Perintah Berkurung Remaja Belum...

KUALA LUMPUR - Kerajaan berpendapat larangan terhadap kanak-kanak dan remaja di bawah usia...

PPBM, DAP Punca Pakatan...

PUTRAJAYA - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad hari...

Mangsa Banjir Di Sarawak...

KUCHING - Jumlah mangsa banjir di Sarawak terus mencatatkan peningkatan dengan 418 orang...

‘Datuk’ Antara 4 Ditahan...

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki bergelar 'Datuk' merupakan antara empat suspek yang ditahan...

BN Kerja Keras, Lakukan Yang Terbaik Di Sabah

KOTA KINABALU – Barisan Nasional (BN) telah bekerja keras dan berusaha menunaikan segala janji BN di Sabah selama lebih lima tahun selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lepas, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin.

Katanya ini termasuk membawa pembangunan infrastruktur dan modal insan demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat di negeri ini.

Beliau berkata banyak program diperkenalkan kerajaan yang jelas membantu semua golongan rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, bantuan awal persekolahan dan peruntukan bagi membaiki sekolah daif.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah itu berkata golongan nelayan, petani dan penternak di negeri ini juga tidak terkecuali daripada menikmati bantuan dan prasarana dibangunkan untuk mereka.

“Sehubungan itu, rakyat khususnya di Sabah perlu menilai sebaiknya segala usaha kerajaan selama ini bagi mewujudkan satu kerajaan yang bekerja untuk rakyat (pada PRU14),” katanya ketika mengulas pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang berkuat kuasa esok, di sini hari ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dalam satu sidang akhbar khas di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya di sini.

Yahya yang juga Setiausaha UMNO negeri, percaya rakyat Sabah bijak memilih dengan memastikan kerajaan yang dipilih pada pilihan raya akan datang adalah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab memelihara kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata BN bersedia menghadapi pilihan raya dengan mengadakan turun padang bertemu rakyat yang sememangnya sudah menjadi budaya parti itu selama ini.

“Kerajaan BN adalah sebuah kerajaan bertanggungjawab dengan pelbagai dasar diperkenalkan demi membela nasib rakyat,” katanya.


Dalam pada itu, Jainab yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Sabah, berharap rakyat tidak terkeliru dengan dakyah pembangkang sebaliknya rakyat perlu fokus terhadap sumbangan dan kejayaan kerajaan selama ini dalam merealisasikan aspirasi rakyat.

Menteri Tugas-Tugas Khas negeri Datuk Teo Chee Kang pula berkata BN khususnya di Sabah mempunyai rekod pencapaian terbaik selain perancangan holistik untuk semua lapisan masyarakat.

“Kerajaan BN juga berjaya membawa pertumbuhan ekonomi negara ke tahap lebih baik meskipun menghadapi pelbagai cabaran ekonomi dunia,” katanya.

Teo yang juga Presiden Parti Liberal Demokratik, mengingatkan rakyat supaya membuat keputusan bijak dengan memilih kerajaan yang mempunyai rekod terbaik dan jangan sama sekali menggadaikan masa depan kerana memilih kerajaan salah.

Pada sidang akhbar itu, Musa mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berkuat kuasa esok bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan pilihan raya peringkat Parlimen.

Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen ke-13 berkuat kuasa esok. – BERNAMA

Kategori