Bersatu Tidak Terima Anggota Baharu Bermata Duitan

SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menolak kehadiran anasir luar dan mereka yang bermata duitan yang cuba menghimpit parti itu demi kelangsungan politik masing-masing, kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata anggota parti lain yang cuba berhijrah ke Bersatu akan ditapis terlebih dahulu dan tidak diterima sewenang-wenangnya.

“Yang kaki bodek, kepala masam mata duitan, kutuk kita sebelum ini, timbulkan masalah, depa boleh ‘stay’ dalam UMNO.

“Musuh-musuh siap sogok beberapa pemimpin kita untuk tinggalkan Bersatu, arah bekas pemimpin yang tidak ikhlas buat sidang media untuk hentam perjuangan kita sehingga mereka terkantoi,” kata Menteri Besar Kedah itu pada sambutan ulang tahun kedua Bersatu di Stadium Malawati, di sini malam ini.

Turut hadir Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Pengerusi DAP Tan Kok Wai, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Mukhriz berkata jika Bersatu ingin perjuangannya terus berkekalan, parti itu perlu bersiap sedia dengan perubahan landskap politik negara dan tidak leka dengan serangan musuh,.

“Dengan persiapan dan perancangan rapi, kehadiran musuh akan memberi kita kekuatan untuk meningkatkan keyakinan rakyat, khasnya orang Melayu kepada kita,” katanya.

Sementara itu, Ketua Armada Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu anggota parti tersebut sentiasa bermusahabah dan tidak terus merasa selesa dengan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas.

“Dua tahun sudah kalian berjuang dan dalam tempoh itu pelbagai rintangan sudah dilalui termasuk tidur di dalam kereta di setiap negeri yang dijelajahi, tidak mempunyai dana yang mencukupi dan pelbagai ugutan diterima, namun rintangan itu semua dapat dilalui.

“Dan hari ini apabila kita sudah dalam kerajaan jangan lupa semua itu. Kita perlu budaya politik baharu, tidak perlu bermewah, bermegah-megah dan kekalkan jati diri yang ada supaya kita dekat dengan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Srikandi Bersatu Rina Mohd Harun pula berkata parti perlu memperkukuh pasak supaya agenda pembangunan negara bukan sahaja dalam tempoh lima tahun ini, tetapi dapat terus menjadi juara dan meninggalkan legasi kepada masyarakat.

“Kita tidak boleh terus lalai dibuai leka, jangan berpeluk tubuh sebaliknya memperbaharui tekad dengan mengambil segala peluang dan ruang supaya Bersatu lebih progresif dan mempunyai semangat juang tinggi,” katanya. – BERNAMA