Beri Peluang Shafie Pegang Portfolio Kewangan

SEMPORNA – Pertubuhan Angkatan Bersatu Pewaris Sabah (Pewarsa) menganggap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal perlu diberi peluang memegang portfolio sebagai menteri kewangan negeri.

Presidennya, Dr. Saifullah Hisham berkata keperluan memegang portfolio tersebut membolehkan pemimpin nombor satu Sabah itu dapat meneliti, menilai serta menyemak, sekali gus membuat keputusan tepat berkaitan urus tadbir kewangan negeri.

“Hal ini akan lebih memudahkan Datuk Seri (Mohd Shafie) yang juga seorang berpengalaman luas dalam pentadbiran untuk membuat perincian menyeluruh mengenai fiskal negeri, terutama melibatkan hutang kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata rakyat perlu melihatnya dari sudut positif kerana langkah itu membolehkan Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah ke arah memenuhi janji dalam pilihan raya umum (PRU) lepas supaya dapat dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.

“Perlu diingat pada Pilihan Raya Umum ke-14, manifesto Warisan sendiri tidak pernah menyebut ketua menteri perlu bebas daripada memegang portfolio lain,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, beliau turut yakin cara pentadbiran serta pelaksanaan dasar menerusi kepimpinan Mohd Shafie akan lebih baik dan telus.

“Perjuangan autonomi penuh Sabah yang tidak berpaksi telunjuk pentadbiran persekutuan adalah sesuatu yang perlu jika negeri ini mahu membangun pesat, selari dengan aspirasi Warisan iaitu negeri berautonomi serta pelaksanaan hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya. – BERNAMA