AS Beri Amaran Kepada Turki

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kelmarin bahawa ia akan mengenakan lebih banyak sekatan ke atas ekonomi Turki jika…

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kelmarin bahawa ia akan mengenakan lebih banyak sekatan ke atas ekonomi Turki jika Ankara tidak segera membebaskan seorang paderi AS yang dipenjarakan.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin berkata, sekatan tambahan boleh dilaksanakan tidak lama lagi.

Perkembangan itu memburukkan lagi perbalahan Ankara-Washington yang menggugat pasaran kewangan dan mengancam perpecahan antara dua sekutu pertahanan dan politik tersebut.

“Kami telah mengenakan sekatan terhadap sebilangan anggota Kabinet mereka (Turki),” kata Mnuchin kepada Trump dalam satu mesyuarat Kabinet yang turut dihadiri wartawan termasuk agensi berita AFP.

“Kami ada banyak lagi sekatan yang akan dilaksanakan jika mereka tidak membebaskannya dengan segera,” tambahnya.

Terdahulu, Trump menyatakan bahawa Turki bukan sahabat AS yang baik.

Merujuk kepada paderi ber­kenaan, Andrew Brunson, Trump berkata, dia seorang yang tidak bersalah.

Beliau kemudiannya memuat naik komen menerusi Twitter bahawa paderi yang ditahan dalam operasi keselamatan selepas cubaan rampasan kuasa pada 2016 itu merupakan seorang ‘patriot’ dan dijadikan ‘tebusan’ oleh Ankara.

Ancaman sekatan baharu itu dibuat ketika Ankara berusaha untuk mengembalikan semula keyakinan pelabur selepas sekatan oleh Washington mendorong kejatuhan mata wangnya, lira.

Menteri Kewangan Turki, Berat Albayrak yang juga menantu lelaki Presiden Recep Tayyip Erdogan memberi penerangan kepada beratus-ratus pelabur asing dari AS, Eropah dan Asia menerusi satu sidang video dalam usaha memulihkan pasaran.

Mata wang lira pulih sedikit sejak dua hari lalu selepas susut hampir 25 peratus pada Jumaat dan Isnin lalu, namun pakar-pakar ekonomi memberi amaran bahawa Turki perlu segera menangani ketidakseimbangan ekonominya bagi mengelak di­timpa lebih banyak masalah kelak.

Berat juga menolak cadangan untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Mata wang Turki itu ditutup ming­gu ini pada 7 lira (RM4.66) berban­ding dolar AS, menokok kepada 5.7 (RM3.80) bersamaan AS$1. – AFP/KOSMO ONLINE

Loading...