Amerika Syarikat Hantar Wakil Ke Kelantan Tinjau Hudud

Susulan kesungguhan negeri Kelantan melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II atau Hudud, Amerika Syarikat dilihat begitu berminat akan pelaksanaannya sehingga menghantar Penasihat Politik Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Tresa Rae Finerty.

Tresa dihantar ke negeri Cik Siti Wan Kembang untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai rang undang-undang berkenaan.

Menurut laporan laman web Agenda Daily, beliau berasa agak keliru terhadap sistem undang-undang berkenaan kerana tidak mempunyai maklumat lengkap mengenainya.

BACA – Hudud : Kelantan Harus Cari Kaedah Potong Tangan Lebih Sesuai

“Perkara itu mungkin disalah tafsir sehingga agak mengelirukan. Selepas ini saya akan mencari maklumat berhubung perkara itu,” katanya ketika melakukan kunjungan hormat kepada Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah semalam.

Kelantan meluluskan enakmen tersebut pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 1993, kemudian tahun lepas kerajaan negeri mewujudkan Jawatankuasa Teknikal bagi memperhalusi undang-undang itu.

Tahun ini, Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) dilihat memberikan maklumbalas positif bagi membolehkan undang-undang berkenaan dibahaskan di Parlimen.

Tresa turut meluahkan rasa kagumnya terhadap rakyat Kelantan kerana mempunyai budaya kehidupan tersendiri, di samping keramahan masyarakatnya. – MYNEWSHUB.CC

Leave a Reply