Ahli Parlimen Langkawi Mohon Maaf Kepada Orang Jawa!

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad memohon maaf diatas kenyataan beliau melalui media sosial Facebook yang dilihat seolah-olah menghina masyarakat Melayu Jawa negara ini.

Beliau menjelaskan tidak bermaksud untuk menghina masyarakat Jawa apabila membuat kenyataan berbunyi “ingat Jawa hebat ka… kalau hebat mengapa datang merempat kat sini. Balik Jawa laa”.

“Saya ingin memaklumkan bahawa kenyataan ini terkeluar ketika berlaku pertengkaran antara saya dengan seseorang di alam maya berhubung isu Melayu dan Perlembagaan Negara.

“Perkara ini menjadi viral di media sosial dan terdapat salah faham masyarakat Jawa tentang komen itu yang mana saya hanya maksudkan terhadap seorang sahaja dan ia tidak dimaksudkan kepada seluruh masyarakat Melayu Jawa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Nawawi secara terbuka memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berketurunan Jawa dalam dan luar negara di atas kekhilafan itu.

“Sesungguhnya keturunan ayah saya juga berdarah Jawa. Membuat kesilapan adalah manusia. Setiap manusia tidak dapat lari daripada kesilapan. Oleh itu sekali lagi saya mengangkat kedua-dua tangan memohon maaf,” katanya.

Beliau seterusnya menjelaskan, pertengkaran beliau dalam media sosial kerana beliau membangkang Melayu dipecah-pecahkan mengikut kumpulan kecil seperti Jawa, Aceh, Banjar, Patani dan lain-lain.

Menurut beliau, Melayu yang terpecah tidak kuat tetapi seorang individu dengan angkuh memperlekehkan Melayu Malaysia dan hanya mengaku Jawa menyebabkan beliau tertulis kenyataan yang dilihat seperti menghina keturunan Jawa.

“Saya menekankan tidak kira kita berasal dari mana selagi kita di Malaysia, di sini wajib tertumpahnya kesetiaan kita pada negara dan tidak berbelah bahagi kesetiaan kepada negara lain,” katanya. – mynewshub.cc