Afrika Selatan Tuduh Trump Cuba Timbul Ketegangan Kaum

JOHANNESBURG – Afrika Selatan menuduh Presiden Donald Trump menyemarakkan ketegangan kaum semalam selepas mendakwa peladang dipaksa meninggalkan tanah masing-masing dan…

JOHANNESBURG – Afrika Selatan menuduh Presiden Donald Trump menyemarakkan ketegangan kaum semalam selepas mendakwa peladang dipaksa meninggalkan tanah masing-masing dan ramai daripada mereka dibunuh.

Tweet Trump menyentuh mengenai pemilikan ladang oleh penduduk kulit putih di Afrika Selatan, antara isu paling sensitif dalam sejarah selepas aparteid negara itu.

“Afrika Selatan menolak sepenuhnya pandangan sempit yang cuma memecah belahkan negara ini dan mengingatkan kami mengenai penjajahan,” kata kerajaan menerusi akaun Twitter rasmi.

Kementerian Luar, dalam kenyataan berkata ia sudah menemui pegawai kedutaan Amerika Syarikat dan memberi amaran berhubung kenyataan ‘bahaya, palsu, tidak tepat dan salah maklumat, selain, dalam sesetengah kes bermotifkan politik’.

Menteri Luar, Lindiwe Sisulu, juga akan bercakap dengan rakan sejawatannya dari AS, Mike Pompeo.

Malam semalam Trump menulis: “Saya meminta Setiausaha Negara, Mike Pompeo, supaya meneliti rampasan tanah dan ladang Afrika Selatan dan pengambilan tanpa pampasan serta pembunuhan peladang.”

Tweet beliau menyusul segmen konservatif Fox News mengenai rancangan Pretoria mengubah Perlembagaan bagi mempercepatkan pengambilan tanah tanpa pampasan untuk menangani ketidakseimbangan kaum dalam pemilikan tanah.

“Kerajaan Afrika Selatan kini merampas tanah dari peladang kulit putih,” menurut kenyataan Trump. — AFP

Loading...