7 NGO Lapor Polis Dakwa Maria Chin Cakap Perkauman

KUALA LUMPUR – Tujuh badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis menggesa pihak berkuasa itu mengambil tindakan terhadap penganjur perhimpunan Bersih 5.0 Maria Chin yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan perkauman pada konvoi perhimpunan itu baru-baru ini.

NGO berkenaan terdiri daripada Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM), Gerak Kerja Gabungan Ayahanda Selangor (GEGAS), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (PERMAS), Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Majlis Bendahara dan Akhlak Rahsia Cekal (ARC).

Presiden MJMM, Abdul Rani Kulup Abdullah yang mewakili kesemua NGO itu berkata mereka membuat laporan polis itu selepas beliau melihat satu posting bergambar di laman sosial Facebook memaparkan apa yang didakwa sebagai kenyataan Maria Chin melalui ucapan yang dikatakan dilakukan ketika konvoi Bersih 5.0.

“Kami mengharapkan pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat kesahihan kenyataan itu yang telah diviralkan dan ambil tindakan sewajarnya,” katanya ketika ditemui Bernama selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan itu. – BERNAMA