Mesti Baca: Ketahuilah, Aedes Lebih Bahaya Dari Anda Sangka!

Sejauh mana anda rasa, sudah benar-benar tahu tentang wabak denggi?

Kami yakin, jika apa yang anda tahu lebih kurang sama sahaja dengan kami maka menonton video di bawah mampu meremangkan roma dan menyedarkan kita betapa bahayanya Aedes yang menjadi punca penyakit demam denggi.

https://www.youtube.com/watch?v=fIrMYGJIeFU&feature=youtu.be

Di sebalik kelembutan bicara Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Lokman Hakim, kenyataan didedahkan berkaitan Aedes amat mengejutkan.

Tak hairanlah, mengapa isu denggi mendapat perhatian begitu serius oleh negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutama pada tahun ini apabila kes denggi mencanak naik melebihi 200 peratus.

Pada awal bicaranya, kenyataan Dr Lokman bahawa gigitan nyamuk Aedes adalah cara penyakit denggi dipindahkan tidaklah mengejutkan langsung.

Begitu juga apabila dimaklumkan bahawa belum ada ubat untuk hapuskan virus denggi, pun ramai yang dah tahu tentang hal ini.

Seterusnya, Dr Lokman mula merungkai fakta lebih jelas tentang cara penyebaran denggi yang amat menyentak.

Rupa-rupanya virus denggi yang tidak mempunyai penawar sampai ke hari ini, mendiami tubuh pesakit walaupun selepas individu tersebut sudah kelihatan sihat lepas mendapatkan rawatan.

Satu lagi fakta mengejutkan adalah cuma 1/3 daripada pesakit denggi tahu bahawa mereka menghidap penyakit ini selepas mengalami simpton tertentu dan pergi mendapatkan rawatan doktor.

Ramai penghidap denggi tidak pergi dapatkan rawatan kerana sangka mereka cuma demam biasa.
Ramai penghidap denggi tidak pergi dapatkan rawatan kerana sangka mereka cuma demam biasa. (Gambar Hiasan)

Sedangkan sebahagian besar pesakit denggi lain, akan sangka mereka cuma demam biasa dan tidak mendapatkan rawatan.

Maka bukan sahaja pesakit denggi yang sedang terlantar di katil wad, tetapi pesakit yang sudah nampak sihat dan pesakit yang menghidap penyakit denggi namun tidak menyedarinya akan memindahkan virus denggi kepada Aedes yang menggigit mereka.

Daripada fakta ini bayangkanlah, betapa ramai manusia pembawa virus denggi di luar sana (entahkan kita juga) yang bakal digigit oleh Aedes seterusnya disebarkan nyamuk ini sepanjang hayatnya yang kira-kira sebulan itu.

Jika belum cukup terkejut, ketahuilah Aedes yang membawa virus denggi tidak memperoleh virus tersebut dengan cara menggigit pesakit semata-mata.

Sebaliknya nyamuk ini mempunyai keupayaan pula untuk memindahkan virus denggi pada telurnya yang bakal menjadi jentik-jentik seterusnya nyamuk dewasa.

Menakutkan bukan??

Disebabkan itulah, target utama KKM untuk menangani denggi adalah penghapusan Aedes itu sendiri.

Namun dalam usaha memastikan persekitaran bebas Aedes, KKM memerlukan sokongan penuh orang ramai. Antaranya ketika aktiviti semburan racun serangga dijalankan di kawasan perumahan bagi membunuh nyamuk dewasa.

Malangnya, masih terdapat kekangan daripada segelintir penduduk yang enggan membenarkan semburan dilakukan di kawasan rumah mereka.

Apabila ini berlaku maka semburan ini tidak dapat mencapai matlamat sepenuhnya.

Semburan kabus racun serangga perlukan sokongan masyarakat setempat. (Gambar Hiasan)
Semburan kabus racun serangga perlukan sokongan masyarakat setempat. (Gambar Hiasan)

Sesetengah individu keberatan membenarkan semburan dilakukan dalam rumah mereka disebabkan kabus racun serangga yang dimaklumi mempunyai bau kurang enak.

Bagaimanapun ketahuilah satu lagi fakta tentang Aedes – nyamuk jenis ini terutama di kawasan bandar, sebenarnya lebih suka ‘rehat’ dan diami dalam rumah berbanding berada di luar.

Bayangkan ada pembunuh dalam rumah namun anda melindunginya apabila ada pihak yang datang mahu bantu hapuskan.. bukankah kurang bijak di situ?

https://www.youtube.com/watch?v=gjnfRqD5DdQ&feature=youtu.be

Begitu pun Dr Lokman menegaskan, semburan racun serangga semata-mata takkan beri kesan jika orang ramai tak mainkan peranan paling penting iaitu hapus tempat pembiakan Aedes di dalam dan luar rumah mereka.

Bukan lama pun, cuma 10 minit seminggu dah cukup untuk melakukannya.

Percayalah, anda mungkin tak sedar tapi 10 minit yang ada peruntukkan itu entah-entah sudah selamatkan nyawa ramai manusia termasuk diri anda sendiri. – MYNEWSHUB.CC

Loading...