Malaysia Simpati Kematian Kayla Mueller

KUALA LUMPUR – Malaysia bersimpati dengan nasib warga Amerika Syarikat (AS), Kayla Mueller yang ditangkap oleh Kumpulan militan Negara Islam (ISIS) pada tahun 2013 yang dilaporkan terbunuh di Syria pada 6 Februari lalu.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan media berkata, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan penangkapan dan penahanan terhadap orang awam yang tidak bersalah.

Kerajaan Malaysia turut menegaskan ISIS menyumbang kepada kematian Kayla Mueller meskipun ISIS mendakwa Mueller maut akibat serangan udara yang dilancarkan tentera pakatan di Syria.

“Malaysia menyampaikan ucapan simpati serta takziah kepada keluarga Mueller dan kerajaan AS. Semoga keluarga beliau diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat-saat getir ini,” kata kenyataan itu hari ini.

Media baru-baru ini melaporkan dakwaan ISIS serangan udara yang dilancarkan tentera pakatan di Syria mengakibatkan seorang tawanan warga AS, Mueller terkorban.

ISIS dalam satu kenyataan yang dimuat turun di laman webnya berkata, Mueller mati selepas tertimbus di bawah runtuhan bangunan akibat dibedil jet pejuang Jordan di Raqa.

Mueller yang merupakan seorang pekerja perubatan ditawan IS pada Ogos 2013 di Aleppo selepas meninggalkan hospital yang dikelola kumpulan sukarelawan, Doctors Without Borders. - MYNEWSHUB.CC

Loading...