Polis Kesan Pembantu Rumah Lari Kanak-Kanak 10 Tahun

POLIS kini sedang giat menjalankan usaha mencari seorang pembantu rumah warga Indonesia yang disyaki menculik seorang kanak-kanak berusia 10 tahun.

Kehilangan kanak-kanak perempuan berkenaan menjadi viral, apabila ia disebarkan menerusi Facebook SJ Echo.

culik

“Penting! Pembantu rumah warga Indonesia larikan seorang kanak-kanak di SS19 Subang Jaya, Selangor. Ia berlaku pada awal pagi ini.

“Ibu bapa menyedari kehilangan kanak-kanak berkenaan sekitar jam 5.30 pagi dan satu laporan polis telah dibuat berkenaan isu ini,” tulis pengendali laman Facebook itu.

Difahamkan, pasangan suami isteri berbangsa Melayu itu pada mulanya ternampak pembantu rumah terbabit merayau-rayau di sebuah stesen bas, semalam.

Selepas mendapat tahu dia melarikan diri daripada majikannya, mereka memutuskan untuk membenarkan wanita itu bermalam di rumah mereka.

Namun, tanpa diduga, niat baik mereka dibalas dengan kejahatan, apabila anak mereka yang merupakan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), didapati hilang bersama wanita itu, awal pagi tadi.

Memetika laporan portal FMT, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Mohammad Azlin Sadari mengesahkan laporan kehilangan kanak-kanak itu telah dibuat dan pihaknya sedang menjejaki pembantu rumah tersebut.

Menurut beliau, kes ini disiasat dibawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan bagi jenayah culik.

Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Raja Mazurah Mikaish berkata, anak kecil itu adalah anak saudaranya.

culik2

“Wanita warga Indonesia tersebut lari dari rumah dan tinggalkan surat. Kejadian disedari 5.30 pagi tadi. Mereka sekeluarga tinggal di Subang Jaya SS19,” kata Raja Mazurah.

Kepada anda yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini, diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Balai Polis Subang Jaya di talian 03-56332222. – MYNEWSHUB.CC

Loading...