TPM: Panggil Militan Ini Daesh Bukan Lagi IS

PUTRAJAYA – Gelaran Islamic States (IS) atau Negara Islam mencemarkan nama baik Islam, justeru kumpulan pengganas itu sepatutnya dipanggil Daesh, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Mereka ini ialah anggota militan, dan sepatutnya dipanggil sebagai Daesh,” tegas beliau yang juga Menteri Dalam Negeri ketika ditemui pemberita tempatan seperti dipetik oleh portal berita Malay Mail Online pada Selasa.

Daesh merupakan akronim iaitu al-Dawla al-Islamiya fil Iraq wa al-Sham, iaitu nama kumpulan tersebut dalam bahasa Arab, yang turut digunakan kebanyakan media berbahasa Arab selain pemimpin Asia Barat selama ini.

Ia bermaksud ‘Negara Islam Di Iraq dan Syam’ yang merujuk nama wilayah takluk pemerintahan khalifah Islam zaman sahabat Rasulullah SAW meliputi pada masa ini iaitu Israel, Palestin, Jordan, Syria, Lubnan dan Cyprus.

Daesh kemudian diterjemahkan ke bahasa Inggeris kepada ISIL iaitu Islamic States of Iraq and Levant (nama Levant ialah terjemahan untuk wilayah Syam) sebelum diubah kepada ISIS iaitu Syria pada huruf S terakhir.

Mereka kemudian menamakan diri sebagai Negara Islam sahaja atau IS pada tahun lalu sekali gus berjaya menarik minat ramai golongan Muslim termasuk remaja dari seluruh dunia dengan ideologi propaganda kumpulan itu.

Namun, kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Bangsa Bersatu masih merujuk nama kumpulan tersebut sebagai ISIL selain agensi berita antarabangsa Reuters dan stesen penyiaran ternama berpusat di London, BBC.

Baca: Kerajaaan Tidak Cadang Tukar Nama ISIS Malaysia

Di Malaysia, setakat ini hanya Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah merujuk ISIL sebagai Daesh kerana mahu elak kekeliruan kononnya Islam sebagai agama pengganas dengan mengambil akronim asal daripada bahasa Arab.

Menurut laporan portal tersebut lagi, Ahmad Zahid mengeluarkan komen rujukan akronim tersebut susulan gesaan beberapa pemimpin dunia untuk tidak mengaitkan para pengganas itu dengan ajaran suci Islam.

“Mereka (para militan kumpulan pengganas itu) menyangka, berjuang dengan Daesh adalah jalan pintas untuk masuk syurga. Saya berharap mereka sebaliknya akan ke tempat lain,” tegas beliau tanpa menjelaskan lanjut.

Ahmad Zahid turut menolak tanggapan bahawa ramai warga Malaysia menyokong Daesh, yang terlibat dalam beberapa serangan maut, termasuk insiden berdarah lebih 130 orang maut di Paris pada 13 November lalu.

Ia berikutan satu tinjauan oleh Pusat Kajian Pew di Washington DC, AS baru-baru ini menunjukkan bahawa kira-kira 11 peratus rakyat Malaysia didapati bersimpati dengan ideologi kumpulan pelampau tersebut.

“Saya tidak rasa tinjauan itu benar-benar mencerminkan keadaan sebenar di sini,” kata beliau. Pada masa sama ujarnya, pelbagai usaha sedang dijalankan untuk menggempur para pemberontak dari selatan Filipina.

Ia ekoran anggota kumpulan pengganas, Abu Sayyaf, memenggal kepala jurutera dari Sarawak, Bernard Then Ted Fen minggu lalu selepas beliau diculik daripada sebuah restoran makanan laut di Sandakan pada 14 Mei.

“Pesisiran pantai Sabah itu luas… lebih 1,400 kilometer. Sukar tapi ia tidak mustahil. Kami pertingkatkan operasi setiap hari. Apa yang penting ialah ada pertahanan keseluruhan,” katanya. - Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...