Dah Kena Tarik… “Saya Tidak Minta Gelaran Datuk Seri” – Anwar

KUALA LUMPUR – “Saya akan terus bertugas sebagai Penasihat Ekonomi Selangor demi menjaga kepentingan negeri Selangor dan rakyatnya,” kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik darjah kebesaran yang diberikan Istana Selangor ke atas beliau sejak tahun 1992 berkuat kuasa semalam.

Anwar turut mendakwa beliau dikurniakan Darjah Kebesaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (S.S.SA) oleh Almarhum Tuanku Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebelum ini tanpa membuat sebarang permintaan atau permohonan.

“Saya mengambil maklum berdasarkan kenyataan media Datuk Mohamad Munir Bani, setiausaha sulit kepada Sultan Selangor bahawa Darjah Kebesaran S.S.S.A. telah ditarik balik berkuatkuasa 3 November 2014.

“Darjah Kebesaran S.S.S.A. ini telah dikurniakan kepada saya pada tahun 1992 oleh Almarhum Tuanku Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah tanpa saya membuat sebarang permintaan atau permohonan dan saya menjunjung kasih terhadap ihsan Almarhum Tuanku yang telah berkenan untuk mengurniakan penghormatan ini kepada saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar dalam reaksi beliau turut memberitahu akan tetap menjalankan tugas dalam menjunjung perlembagaan negara, Raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen serta akan sentiasa mendokong perjuangan untuk rakyat.

Media hari ini melaporkan, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Selangor hari ini, penarikan pengurniaan S.S.SA kepada Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak 1992 berkuatkuasa pada 3 November.

Menurut kenyataan itu, Sultan Selangor selepas berunding dengan Dewan Diraja Selangor memutuskan Darjah Kebesaran Datuk Seri yang dikurniakan kepada Anwar ditarik balik selaras dengan kuasa baginda sebagai sumber bagi segala penghormatan dan kebesaran dalam Selangor serta kuasa untuk menurunkan Darjah Kebesaran sepertimana yang diperuntukkan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Jelas kenyataan itu, keputusan membatalkan gelaran Anwar itu berikutan beliau berulang kali mempersoalkan integriti Sultan Sharafuddin Idris Shah dan institusi Raja dalam krisis menteri besar baru-baru ini.

Tambah kenyataan itu, Sultan Selangor membuat keputusan itu selepas berunding dengan Majlis Diraja Selangor selaras dengan kuasa Sultan untuk memberikan gelaran itu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negeri.

Mohamad Munir dalam kenyataannya berkata tindakan dan tingkah laku penasihat PKR itu menunjukkan Anwar tidak layak lagi memegang apa-apa anugerah.

Anwar bagaimanapun mempunyai sekurang-kurangnya 3 lagi anugerah yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’ yang diterimanya pada tahun 1999. – MYNEWSHUB.CC

Loading...