Sah 2 Rakyat Malaysia Pengebom Maut Daesh Bunuh 30 Awam

KUALA LUMPUR – Dua pengebom berani mati kumpulan militan Daesh yang dipercayai membunuh lebih 30 orang awam dalam dua serangan berasingan di Syria dan Iraq minggu lalu disahkan adalah rakyat Malaysia.

Perkara cukup memeranjatkan itu disahkan sendiri oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, ketika ditemui pemberita dalam majlis rasmi di Pangkalan Tentera Udara Subang pada petang Rabu.

Sebelum ini semua media tempatan dan antarabangsa melaporkan dua rakyat Malaysia dipercayai berjaya meletupkan diri mereka sendiri, demi perjuangan bersama pengganas Daesh atau juga disebut sebagai IS.

Mohd. Amirul Ahmad Rahim, 26; berasal dari Terengganu, meletupkan bom yang berada padanya dalam sebuah kereta semasa pertempuran di kubu kumpulan pengganas Daesh di Raqqa, Syria, pada 29 Disember lalu.

Mohamad Syazwan Mohd Salim, 31; yang melaksanakan misi pada malam 3 Januari ialah seorang daripada tujuh pengebom berani mati yang menyusup ke pusat latihan polis Iraq di pangkalan tentera udara Speicher, Tikrit.

Baca: Pengganas IS/Daesh Cuma Takut Satu Negara Ini…

Juga: Hamas Palestin Tidak Pernah Iktiraf Ekstremis Daesh

Markas menempatkan 10,000 anggota tentera Iraq itu terletak kira-kira 160 kilometer ke utara ibu kota Baghdad. Kem tersebut pernah diserang militan Daesh pada 12 Jun 2014 yang membunuh hampir 1,700 kadet tentera.

Tindakan mereka ini juga membuatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan perasaan terkejut kerana ia mengakibatkan lebih 30 orang yang tidak berdosa menjadi mangsa korban keganasan Daesh.

Menerusi catatan dalam laman Facebooknya, Najib berkata tindakan dan ideologi ekstremis tidak diterima di Malaysia atau Islam, dan kerajaan sememangnya komited untuk memerangi keganasan dalam semua bentuk.

“Kami akan berusaha untuk mengetahui bagaimana dan mengapa kedua-dua anak muda tempatan ini sanggup melakukan perbuatan kejam ini baik di dalam negara ini mahu pun di luar negara.

“Pihak kerajaan akan mengambil segala langkah yang perlu untuk mengelakkan orang lain daripada berbuat demikian pada masa depan,” tegas beliau lagi. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...