Remaja Yang Diculik Lepaskan Diri Selepas Penculik Lupa Kunci Pintu

Seorang remaja perempuan yang berusia 15 tahun, yang hilang sejak dua tahun lalu akhirnya ditemui selepas dia melarikan diri daripada penculiknya apabila elaki berusia 23 tahun itu terlupa mengunci pintu.

Remaja terbabit, Ana Saito, ditemui di bandar Tokyo, Jepun semalam selepas dia menghubungi polis melalui telefon berbayar.

Ana memaklumkan kepada polis bahawa dia telah diculik oleh Terauchi ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah di Asama, pada Mac 2014 dan sejak itu dikurung bagaikan hamba di dalam rumah.

Kehilangan Ana dilaporkan dua tahun lalu oleh keluarganya selepas dia kali terakhir dilihat bercakap dengan seorang lelaki di kawasan berdekatan rumahnya.

Lelaki itu kini dikenalpasti sebagai Terauchi.

Keluarga Ana kemudiannya menerima sekeping nota yang menyatakan bahawa Ana berada di rumah kawannya dan meminta supaya keluarganya tidak lagi mencarinya.

Menurut Ana, dia sebenarnya dikurung dalam apartment Terauchi dan tidak dapat menghubungi keluarganya kerana lelaki itu sentiasa mengawasinya.

Dia bagaimanapun berjaya melepaskan diri selepas Terauchi keluar rumah untuk membeli barang.

Dalam masa sama Terauchi, akhirnya ditahan selepas polis menerima laporan bahawa seorang lelaki merayau di jalan dalam keadaan berlumuran darah.

Terauchi dilaporkan cuba membunuh diri dengan mencederakan lehernya dan dia berbuat demikian setelah Ana melepaskan diri.

Lelaki itu akan didakwa dengan tuduhan menculik selepas keadaannya bertambah pulih.

Loading...