Polis Terima Laporan Mengenai Maklumat Palsu Kesihatan Agong

KUALA LUMPUR – Satu laporan polis telah dibuat mengenai penyebaran maklumat palsu berhubung kesihatan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang menjadi viral di media sosial.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Sharul Othman Mansor berkata laporan berkenaan diterima daripada pihak keselamatan Istana Negara kira-kira pukul 1 pagi tadi.

“Kita akan serahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Selain maklumat palsu menagenai kesihatan baginda, dua keping gambar turut disebarkan yang dikatakan diambil di hadapan bangunan Sayap Diraja Istana Negara yang menunjukkan susunan kenderaan milik Istana Negara serta sebuah ambulans.

Dalam pada itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wira Awang Kechik Abdul Rahman dalam satu kenyataan hari ini berkata Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, 88, telah berangkat ke Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 10.30 malam tadi bagi menjalani pemeriksaan kesihatan berkala seperti yang dijadualkan.

“Seri Paduka sedang berehat dan dijangka kembali bertugas secepat mungkin,” katanya dan menambah beliau berangkat dengan kenderaan rasmi Yang di Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah turut menzahirkan rasa terharu dan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan baginda. – BERNAMA