Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

10 Tahun Penjara Hina...

VETERAN DAP, Lim Kit Siang berkata tindakan mahkamah menjatuhi hukuman 10 tahun penjara...

Fama Sasar 1,000 Pasar...

ALOR SETAR - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyasarkan 1,000 Pasar Komuniti dan...

Nicol Tewas Pusingan Pembukaan...

KUALA LUMPUR - Ratu skuasy negara Datuk Nicol David mengalami kekalahan besar dalam...

Seminar Labur Saham Mega....

KUALA LUMPUR -  Seminar Labur Saham Mega yang berlangsung di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam,...

Buskers Kian Diterima, Mampu Beri Pendapatan Besar

KUALA LUMPUR – Pada malam akhir tahun 2014 yang dingin, kelihatan seorang lelaki kurus berjalan sambil membawa kotak bersaiz besar di hadapan sebuah bank di Jalan Bukit Bintang dekat sini.

Lelaki berambut paras bahu, berbaju-T hitam dan berseluar jeans yang muncul sekitar 10.30 malam itu mengeluarkan barang di dalam kotak yang berisi instrumen muzik dan audio, sebelum ia disusun satu persatu.

Tidak lama kemudian datang pula empat lagi lelaki yang kelihatan sebaya dengannya mengambil tempat di sisi setiap instrumen yang telah disusun.

Kelihatan beberapa anak muda yang menunggang motosikal turut berhenti di tepi jalan berkenaan sambil menantikan sesuatu dengan teruja pada malam itu.

Pemilik nama, Mohammad Yusof Omar atau Ucop, 52, memperkenalkan diri dan rakan-rakan beliau sebagai ‘Rock Legend’ yang merupakan antara kumpulan pemuzik jalanan (buskers) yang aktif di negara ini.

TEPUKAN GEMURUH

Sejurus kemudian, semua ahli memainkan peranan masing-masing ada yang bermain gitar, drum, kerincing dan Ucop memegang mikrofon untuk melontarkan suaranya.

Sebaik Rock Legend mendendangkan lagu, ia disambut dengan tepukan gemuruh oleh penonton. Bermula dengan lagu Inggeris, Hotel California beralih kepada lagu Si Gadis Ayu dan Sandiwara Cinta, setiap lagu yang didendangkan seolah-olah memukau penonton sehingga ada yang turut menyanyi bersama.

Gema muzik dan alunan suara yang dipersembahkan serta-merta mengubah suasana malam di Bukit Bintang seolah-olah terdapat satu konsert ‘live’ yang besar sedang dipertontonkan.

Sambil mendendangkan lagu, Ucop menghulurkan sebuah bekas kain di hadapan penonton. Tidak sampai 15 minit bekas kain itu sudah dipenuhi dengan wang.

KEPUASAN

Ucop berkata begitulah rutin seorang pemuzik jalanan sepertinya. Waktu kerjanya hanya bermula di tengah malam dengan menghiburkan orang ramai di kaki lima dengan pendapatan bergantung kepada hasil sumbangan.

Namun, tegas Ucop, bukanlah wang yang diberi orang ramai menjadi keutamaan sebaliknya kepuasan yang diperoleh oleh pencinta muzik seperti beliau ketika menghiburkan orang biarpun hanya di kaki lima jalan.

“Kita tidak kisah berapa pendapatan yang diterima, malahan ada yang datang menyaksikan persembahan kami tidak memberi wang namun ia tidak penting bagi kami, kerana apa yang lebih penting kepuasan menghiburkan orang di jalanan,” katanya.

Walaupun baru menceburkan diri dalam bidang busking ini sejak lima bulan lepas namun Ucop yakin akan dapat bertahan lama dalam arena muzik jalanan ini memandangkan sambutan yang diberikan oleh orang ramai sejak kebelakangan ini amat memberangsangkan.

Katanya, Rock Legend berjaya menarik lebih 100 penonton setiap kali mengadakan persembahan di sekitar Bukit Bintang setiap malam.

KINI PENDAPATAN UTAMA

Sambutan yang diberikan oleh masyarakat kepada buskers kini jauh berbeza berbanding pada awal kewujudannya di negara ini sekitar 1980-an.

Pada waktu itu buskers menyampaikan persembahan secara solo yang kurang mendapat sambutan kerana orang ramai berasa kekok untuk menonton dengan lebih lama.

Berikutan itu, beberapa buskers mengambil langkah bergabung membentuk sebuah kumpulan band menjadikan persembahan yang diadakan seolah-olah sebuah konsert di atas pentas yang besar dan berjaya meraih tumpuan orang ramai.


Perkembangan industri busking yang begitu sihat ini membuatkan Ucop serta rakan-rakan buskers yang lain menjadikan busking sebagai pendapatan utama mereka.

Menurut seorang lagi busker yang ditemui Bernama, Mohd Arif Mohamad, 40, pendapatan yang diperoleh setiap kali mengadakan persembahan di sesuatu tempat adakalanya mampu mencecah sehingga RM1,500 sehari.

Arif bersama tujuh rakannya di bawah kumpulan ‘Sentuhan’ mengadakan busking di sekitar Kuala Lumpur termasuk Kompleks Sogo, Bukit Bintang dan Masjid India setiap hari.

DIKAIT DENGAN DADAH

Busking menjadi pilihan ramai kerana persembahan nyanyian dan kumpulan band yang bersifat santai dan penonton tidak perlu membayar mahal untuk menyaksikan persembahan ‘live’.

Kehidupan yang penuh cabaran terutama bagi penduduk di bandar besar seperti Kuala Lumpur telah menjadikan tontonan busking secara tidak langsung mampu membantu mengurangkan tekanan hidup.

“Kita tidak tahu kisah di sebalik penonton yang menyaksikan persembahan kami. Mungkin mereka sedang berhadapan dengan masalah kewangan, keluarga dan sebagainya, oleh itu kami berharap kehadiran kami di jalanan ini mampu mengurangkan tekanan hidup mereka,” kata Arif.

Sementara itu, Presiden Kelab Penghibur Jalanan Malaysia (MYBC), Wady Hamdan menjelaskan bahawa pada awal kewujudan fenomena busking pada 1980-an masyarakat sering mengaitkan buskers dengan gejala tidak sihat seperti ketagihan dadah dan digelar peminta sedekah.

Lalu MYBC yang baru diwujudkan sejak dua tahun lepas mengambil inisiatif mewajibkan semua 8,010 ahlinya menjalani ujian saringan dadah bagi menepis stigma itu.

INDUSTRI BUSKING KIAN BERKEMBANG

Wady berkata langkah ini diambil kerana MYBC berazam untuk mengangkat martabat industri busking ke peringkat yang lebih tinggi sehingga ia menjadi sebuah kerjaya yang dihormati.

“Sejak ditubuhkan pada 2012, MYBC bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk mewajibkan semua ahli menjalani ujian saringan dadah.

“Melalui ujian itu didapati semua ahli MYBC adalah negatif dadah dan terbukti tuduhan masyarakat terhadap golongan buskers sebelum ini adalah salah,” katanya ketika ditemui Bernama.

Kini terdapat kira-kira 10,000 buskers di seluruh negara dan angka ini diyakini akan terus meningkat.

Suasana hiburan di negara ini yang lebih menjurus kepada penampilan bakat-bakat baharu seperti sambutan yang diterima dalam rancangan program realiti menjadi antara faktor berkembangnya industri busking, katanya.

Sehingga kini, terdapat 75 peratus buskers sepenuh masa di seluruh negara yang menjadikan busking sebagai punca pendapatan mereka.

“Hal ini bermakna walaupun tiada bayaran tetap atau tiket dikenakan bagi menyaksikan persembahan busking melainkan sumbangan ikhlas penonton, buskers masih mampu meraih pendapatan yang baik dan mereka mempunyai masa hadapan yang cerah,” katanya.
– BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori