Mufti Perlis Kecam Gerakan Hindraf Campuri Isu Islam

KUALA LUMPUR – “Hindu Rights Action Force (Hindraf) beragama Hindu. Apakah pula kaitan mereka dengan aliran Ahlus Sunnah wal Jamaah?”

Itu reaksi Mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin atas tindakan Hindraf membantah kehadiran penceramah agama luar negara Dr. Zakir Naik di negara ini.

Kata Mohd. Asri, dakwaan Hindraf kononya Zakir bukan dari aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak wajar kerana penceramah itu tidak pernah menyeru masyarakat kepada permusuhan antara agama.

“Hindraf bantah ceramah Zakir di Malaysia. Lebih menarik lagi Hindraf mendakwa Zakir bukan dari aliran ASWAJA. Barangkali Hindraf pun terkena sindrom puak dalam masyarakat Muslim yang suka menuduh orang lain bukan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Maka tidak pelik jika dalam kalangan muslim ada kelompok ahli sunnah wal jamaah tetapi menuduh orang lain bukan ahli sunnah wal jamaah,” katanya yang dipercayai merujuk kepada Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja).

Beliau berkata demikian melalui satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi DrMaza.com hari ini.

Semalam, Ketua Hindraf, P. Waytha Moorthy menggesa kerajaan melarang Zakir daripada memberi ceramah di negara ini kerana mendakwa penceramah itu menyemai kebencian antara agama.

Waytha Moorthy merupakan bekas anggota Kabinet tetapi meletakkan jawatan pada Februari 2014 iaitu hanya selepas sembilan bulan memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau meletak jawatan dengan alasan kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal membela nasib masyarakat India tetapi isu sebenar kerana kerajaan menolak permintaannya supaya semua bajet kerajaan untuk masyarakat India diletakkan di bawah kawalannya.

Hindraf sebelum ketuanya dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merupakan sebuah gerakan anti-kerajaan yang mempunyai hubungan akrab dengan pemimpin pembangkang. – Mynewshub.cc

Leave a Reply