Meninggal Dunia Lepas Sejam Isteri Hembus Nafas Terakhir

SEORANG lelaki warga emas dilaporkan meninggal dunia sejam selepas mayat isterinya dibawa pulang dari hospital ke rumah mereka di Jalan Sekolah, Kampung Baru, Labis, di sini, baru-baru ini.

Khoo Swee Kai, 73, meninggal dunia sejam selepas mayat isterinya, Tan Siew Ying, 66, yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Segamat akibat penyakit angin ahmar dibawa pulang ke rumah mereka pada jam 10 malam.

Memetik Harian Metro, anak mendiang mengatakan bapanya sangat terkesan dengan kematian ibu mereka dan pernah menyatakan mahu mengikut jejak langkah isterinya.

“Setiba di rumah, saya lihat ayah termenung di atas kerusi roda kerana dia tidak dapat berjalan akibat kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu.

“Ketika menghampirinya, ayah beritahu dia sedih kerana ibu pergi dulu dan menurutnya, dia berharap mereka mati bersama kerana tidak mahu hidup tanpa ibu,” katanya.

Walau bagaimanapun, punca kematian Swee Kai tidak pula didedahkan.

Cerita ini ibarat kisah cinta romantis, apabila kedua-duanya meninggal dunia pada hari yang sama dan menemani satu sama lain di alam yang satu lagi.

Takziah diucapkan buat ahli keluarga kedua-dua mendiang di atas kematian ibu bapa mereka. – MYNEWSHUB.CC

 

Loading...