KUALA LUMPUR – Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad’s (1MDB) secara kolektif menawarkan peletakan jawatan susulan saranan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap syarikat tersebut.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berkata, kesemua ahli lembaga itu termasuk dirinya sendiri telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).
“Kesemua enam pengarah secara bersama-sama bersetuju untuk meletak jawatan masing-masing ekoran saranan daripada laporan siasatan PAC yang diedarkan di Parlimen pada Khamis demi memudahkan siasatan lebih lanjut.
“Ia juga susulan kejayaan pelan rasionalisasi 1MDB akhir tahun lalu dan kini terpulang kepada pihak MKD sebagai pemegang saham 100 peratus 1MDB untuk menerima peletakan jawatan kami ini,” tambah Arul Kanda lagi.
Selain beliau, lembaga 1MDB disertai Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin sebagai pengerusi serta ahli-ahlinya, Tan Sri Ismee Ismail, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Tan Sri Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram.
Arul Kanda berkata, beliau sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa jika memerlukan siasatan lanjut ekoran saranan PAC namun beliau berpuas hati tiada unsur jenayah dan urus tadbir 1MDB kecuali beberapa kelemahan.
“Ini merupakan satu keputusan yang sukar untuk diambil tetapi kami percaya bahawa ini adalah langkah yang betul dalam situasi ini, bagi memudahkan sebarang siasatan susulan seperti yang dicadangkan oleh PAC,” katanya.
Berikut kenyataan penuh Lembaga Pengarah 1MDB:
Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (“Lembaga Pengarahâ€Â) mengambil maklum isi kandungan Laporan PAC berkenaan 1MDB seperti yang dibentangkan di Parlimen pagi ini (“Laporan PACâ€Â).
Pihak Lembaga Pengarah melihat Laporan PAC ini sebagai sebuah dokumen yang menyeluruh dan muktamad, yang telah menyatakan fakta-fakta dengan jelas dan telah menyangkal pelbagai dakwaan berkenaan syarikat.
Laporan PAC tersebut telah mengenal pasti beberapa kelemahan dalam tadbir urus dan proses membuat keputusan oleh 1MDB.
Apabila ditinjau kembali, kami dapat memahami bagaimana Jabatan Audit Negara dan PAC boleh mengenalpasti kekurangan-kekurangan ini.
Walau bagaimanapun, adalah penting untuk difahami bahawa keputusan-keputusan yang dibuat ketika itu adalah dalam konteks transaksi yang spesifik pada masa tersebut.
Tambahan pula, 1MDB merupakan sebuah syarikat yang kompleks dan mempunyai peranan yang pelbagai dalam menjalankan projek-projek strategik berskala besar, mewujudkan kerjasama dengan entiti-entiti kerajaan asing dan menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.
Pihak umum sedia maklum bahawa 1MDB hanya mempunyai ekuiti tunai sebanyak RM1 juta, yang memerlukan syarikat membuat pergantungan besar kepada pinjaman untuk membiayai pelaburannya.
Meskipun berdepan cabaran ini, Lembaga Pengarah telah membuat yang terbaik untuk menguruskan syarikat dengan cara yang tidak akan mengakibatkan beban kewangan kepada Kerajaan.
Secara khususnya, sebaik sahaja ketidakpadanan aliran tunai (cash-flow mismatch) dikenalpasti pada November 2014, Lembaga Pengarah bertindak segera untuk melantik seorang pakar penstrukturan semula profesional untuk mengetuai 1MDB.
Ini membawa kepada perlaksanaan kajian strategik (strategic review) yang seterusnya membawa kepada kejayaan pelan rasionalisasi yang sedang berjalan, yang telah menyelesaikan beban hutang 1MDB.
Syarikat telah membayar dan akan terus membayar kesemua hutang jangka pendek dan kesemua hutang bank dengan hasil yang diperolehi daripada penjualan Edra, dan ketika ini mempunyai lebihan tunai kira-kira RM2.3 bilion yang akan diperuntukkan untuk membayar kadar faedah dan keperluan kewangan infrastruktur.
Lembaga Pengarah percaya bahawa ia telah menjalankan peranan dan tanggungjawabnya sebaik yang mungkin, termasuk pelaksanaan pelbagai langkah tadbir urus korporat seperti mewujudkan prosedur operasi standard (standard operating procedure) untuk syarikat dan menubuhkan jawatankuasa audit dan pengurusan risiko Lembaga Pengarah.
Di samping itu, Lembaga Pengarah juga telah memastikan kerjasama penuh diberikan kepada semua pihak berkuasa yang sah yang menjalankan siasatan ke atas syarikat.
Semua dokumen sokongan yang ada telah pun dikemukakan dengan sewajarnya. Lebih penting lagi, dana syarikat 1MDB telah diambil kira sepenuhnya dan tidak ada kes “RM42 bilion hilang”, seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.
Juga telah disahkan, 1MDB tidak memindahkan RM2.6 bilion kepada akaun peribadi Perdana Menteri seperti yang telah didakwa.
Lembaga Pengarah juga telah berjaya membawa 1MDB melalui suatu tempoh unik yang mencabar dan percaya bahawa Laporan PAC boleh menjadi titik pengakhiran dakwaan-dakwaan palsu ke atas syarikat.
Walau bagaimanapun, berdasarkan hasil Laporan PAC tersebut, Lembaga Pengarah secara kolektif pagi ini telah memutuskan untuk menawarkan perletakan jawatannya kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), yang merupakan 100% pemegang saham 1MDB.
Ini merupakan satu keputusan yang sukar untuk diambil tetapi kami percaya bahawa ini adalah langkah yang betul dalam situasi ini, bagi memudahkan sebarang siasatan susulan seperti yang dicadangkan oleh PAC.
– Agensi/Mynewshub.cc/HAA