Kelantan Perlu Bantuan Pasca Banjir Lebih RM900 Juta!

KUALA LUMPUR – Dianggarkan lebih RM900 juta diperlukan untuk bantuan banjir di Kelantan yang terjejas teruk akibat bencana itu.

Datuk Seri Mustapa Mohamed
Datuk Seri Mustapa Mohamed

Pengerusi Jawatankuasa Khas Bencana Banjir Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata anggaran itu merangkumi bantuan kepada mangsa banjir, membaiki dan membina semula rumah yang rosak serta membaik pulih kerosakan infrastruktur yang terjejas teruk akibat banjir besar yang melanda beberapa daerah di negeri itu.

“Setakat ini kita anggarkan RM932 juta diperlukan termasuk untuk beri bantuan (kewangan) kepada mangsa banjir, ganti rugi pertanian dan untuk membaik pulih kerosakan infrastruktur termasuk sekolah, jalan dan jambatan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Forum Usahawan Muda Malaysia Asean pertama di sini, hari ini.

Mustapa berkata berdasar anggaran di Kelantan, jumlah yang diperlukan untuk bantuan banjir bagi seluruh negara boleh mencecah RM2 bilion.

“Anggaran itu berdasar kepada pengalaman saya,” katanya ketika diminta mengulas laporan media mengenai dana hampir RM800 juta yang telah dibelanjakan kerajaan bagi membantu mangsa banjir di negeri-negeri terjejas.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan pada Isnin dilaporkan berkata hampir RM800 juta sudah dibelanjakan kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membantu mangsa banjir di negeri-negeri yang terbabit musibah itu baru-baru ini.

Peruntukan berkenaan membabitkan pembekalan makanan, operasi logistik dan pembersihan rumah-rumah mangsa.

Mengenai hubungan baik kerajaan Kelantan dan persekutuan kini, Mustapa berkata ia adalah untuk kebaikan rakyat dan tidak mempunyai kaitan dengan perkara lain.

“Sekarang kita sama-sama menangani masalah pasca banjir dan ini merupakan masalah rakyat.

“Walau apa jua parti, kita mesti hendak bantu rakyat…pada masa ini politik partisan kita ketepikan kerana yang penting ialah untuk bekerjasama menangani isu banjir,” tegas Mustapa.

Banjir kali ini melanda beberapa buah negeri, khususnya di pantai timur, antara yang terburuk dalam sejarah dengan lebih 200,000 orang menjadi mangsa. – BERNAMA

Loading...