Lalai Dengan Muzik, Blogger Nisa Kay Mohon Maaf

NAMA seorang blogger tempatan kini sedang terpalit dengan kontroversi aksi tarian mengghairahkan sekumpulan wanita berhijab ketika majlis pelancaran koleksi hijab Be Lofa by Naelofar Hijab malam tadi di sebuah kelab malam terkenal di ibu kota.

Memakai baju berwarna kuning dan berseluar ketat berwarna putih, gerak tari Khairunissa ‘Nisa Kay’ yang lincah dan menggoda itu mengundang cemuhan daripada para netizen kerana dianggap tidak menghormati sensibiliti wanita berhijab.

Baca: Lancar Tudung Di Zouk, Lofa Ada Alasan Sendiri

Nisa Kay, 26, mengakui bahawa dia telah tersilap langkah  ketika malam itu dan ‘bagaikan telah lupa diri’ kerana dibuai dengan muzik yang melalaikan.

“Saya akui, kelakuan saya itu tidak seharusnya berlaku dan sama sekali tidak menggambarkan diri saya yang sebenar serta imej sebagai wanita bertudung,” tulisnya menerusi permohonan maaf secara terbuka.

Malah, blogger yang turut seorang Youtuber itu juga tidak mahu membela dirinya kerana ramai yang sudah menonton video tariannya itu dan mengaku salah atas perbuatan tersebut.

“Saya akui, saya tidak memaparkan contoh yang baik, lebih-lebih lagi dengan reputasi yang perlu dijaga.

“Ada khilafnya di mana saya lalai dan terbawa-bawa dengan perlakuan saya seperti mana yang orang ramai sudah saksikan menerusi video tersebut,” tambanya lagi.

Menurutnya lagi, dia juga tidak menyangka ada yang merakam aksinya ketika berada di kelab malam terkenal tersebut dan turut terkejut apabila membaca segala macam tohmahan yang diterimanya.

Namun, dia tetap akur dengan kesilapannya itu dan menghargai usaha banyak pihak yang sudah memadam video tersebut di kebanyakan media sosial.

“Kehadiran saya di acara berkenaan adalah untuk memenuhi jemputan pihak penganjur dan saya tidak seharusnya menyertai permainan perang bibir (lip-sync battle) tersebut.

“Tetapi memandangkan kumpulan terbabit tidak mempunyai ahli yang cukup, saya yang berdiri berhampiran kumpulan itu ditarik oleh seorang petugas untuk menyertai mereka.

“Suasana dan muzik yang meriah mungkin buat saya lupa seketika siapa saya dan kenapa saya berada di sana,” ujar pengacara After Party Rated Xtra ketika AJL32 yang lalu.

Itulah sebabnya mengapa ramai yang tidak bersetuju dengan tindakan Neelofa mengadakan majlis di situ walaupun mereka tidak menghidangkan minuman terlarang.

Tapi disebabkan tempaat tersebut pada asalnya merupakan kelab malam, pasti tidak akan lari dengan muzik yang melekakan atau apa sahaja jenis fitnah.

Kata orang, nasi pun dah jadi bubur. Nak baiki semuanyaa pun dah terlambat sebab ramai yang dah tengok video tu…

Mudah-mudahan kejadian semalam akan memberikan pengajaran kepada semua wanita diluar sana agar tidak mudah terpengaruh dengan perkara sebegitu. – MYNEWSHUB.CC/AH

Loading...