Istilah Romantik Moden “Bae” Kini Dalam Kamus Oxford

LONDON – Pihak pengurusan kamus baku bahasa Inggeris terkemuka, Oxford Dictionary di sini semalam mengesahkan beberapa lagi istilah baharu yang diwartakan sebagai perkataan standard bahasa Inggeris untuk keluaran rujukan terkini masyarakat mulai tahun ini.

Pengarah editorial Oxford Dictionary, Judy Pearsall berkata, antara istilah terbaharu diterima pakai ialah vape iaitu rujukan tingkah laku perokok elektronik atau e-rokok dan telah luas diguna sejak 2013 apabila dipopularkan ramai selebriti ternama Barat.

Vape mula kali pertama dikesan pada 1980-an bagi merujuk perbuatan menghirup dan melepaskan wap daripada gajet itu tetapi ia semakin banyak disebut termasuk kata kerja ‘vaping’ setelah banyak kajian bahaya rokok elektronik mencetuskan perdebatan awam.

“Amalan e-rokok hanya bermula pada 2004 tetapi perkataan vape sudah muncul dalam satu artikel oleh Rob Stepney menerusi sebuah majalah pada 1983 termasuk rujukan untuk gajet rokok tersebut sebelum menjadi istilah arus perdana pada 2009,” jelas wanita berkenaan.

Turut dimasukkan sebagai perkataan baharu bahasa Inggeris ialah bae yang sering diguna pakai secara meluas dalam kalangan artis muzik genre hip hop dan penyanyi R&B bagi memberi makna kepada panggilan rujukan ganti diri untuk teman pasangan romantik.

Istilah ucapan manja tersebut ujar Pearsall, sebenarnya adalah singkatan daripada perkataan babe dan asalnya bermula daripada baby iaitu perkataan maksud lain bagi panggilan ganti nama diri seseorang yang amat disayangi selain darling. – Agensi