Kren Tumbang: Warga Makkah Berpusu-Pusu Derma Darah

MAKKAH – Ramai penduduk tempatan terutamanya para belia, berpusu-pusu ke pelbagai hospital di sini untuk menderma darah bagi kegunaan mereka yang cedera dalam insiden kren tumbang di Masjidil Haram pada Jumaat.

Sebilangan besar penduduk Makkah malah menggunakan media sosial untuk menggalakkan orang ramai segera tampil ke hadapan bagi menderma darah mereka bagi membantu hospita yang mungkin kekurangan bekalan.

Malah lelaman sesawang Arab Saudi mula sesak dibanjiri dengan banyak berita serta gambar-gambar tentang kemalangan dahsyat tersebut apabila ia berlaku pada petang 11 September susulan angin kuat dan ribut pasir.

Seorang jurucakap di Jabatan Kesihatan Makkah, Abdul Wahab Shalbi memberitahu akhbar Saudi Gazette bahawa semua hospital di Makkah bersedia untuk menerima jumlah pesakit yang seramai mungkin.

Sekurang-kurangnya 107 orang kebanyakan jemaah haji disahkan meninggal dunia apabila sebuah kren pembinaan yang besar tumbang ke Masjidil Haram. Kira-kira 230 yang lain pula dilaporkan cedera.

Baca: Angin Kuat Punca Kren Tumbang – Pegawai Saudi

Jurucakap Masjidil Haram, Ahmed Mohammad al-Mansoori dipetik agensi berita Saudi sebagai berkata, sebahagian daripada kren tumbang pukul 5.10 petang waktu tempatan “akibat angin kencang dan hujan lebat“.

Seorang yang bertugas di Masjidil Haram, Abdel Aziz Naqoor pula memberitahu agensi berita antarabangsa AFP bahawa beliau dapat melihat dengan jelas kren tinggi tersebut tiba-tiba jatuh selepas dibadai kuat ribut.

Jika tidak kerana jambatan Al-Tawaf, jumlah kecederaan dan kematian akan menjadi lebih teruk,” katanya sebagai merujuk binaan mataf setinggi empat tingkat yang mengelilingi Kaabah untuk bertawaf.

Namun tiada maklumat segera mengenai butiran kerakyatan para mangsa yang terbunuh dikeluarkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi kepada media setakat ini. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

 

Loading...