Jangan Sertai Perhimpunan Haram Esok – Polis

Asal ada sahaja ketidapuasan hati, ada pihak dilihat cuba ‘menangguk di air keruh’ bagi menjejaskan keamanan dengan mengadakan perhimpunan haram sekaligus mencetuskan kebimbangan rakyat.

Ekoran kenaikan harga petrol RON95 sebanyak 20 sen yang berkuatkuasa semalam, terdapat mesej bergambar yang disebarkan di aplikasi bual Whatsapp bahawa ada perhimpunan protes besar-besaran akan diadakan esok pada pukul 4 petang.

[BACASubsidi Petrol RON95 dan Diesel Dikurangkan 20 Sen Seliter]

Himpunan yang dikenali sebagai ‘Himpunan Besar-Besaran Protes Kenaikan Harga Minyak’ dikesan menggunakan tema “Selagi tak turun balik, rakyat jangan balik,” akan diadakan di Dataran Merdeka.

Memetik laporan Sinar Harian Online, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa berkata, beliau memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak berhimpun bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

Perhimpunan itu merupakan satu kesalahan dan peserta yang menyertainya boleh didakwa mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Secara tidak langsung ia mampu mengganggu ketenteraman awam selain mencemarkan imej negara. Sehingga hari ini, kita belum menerima sebarang permohonan daripada pihak penganjur. Juga, masih tiada laporan diterima membabitkan perhimpunan tersebut,” katanya.

Menurut beliau, pasukan polis akan memperketatkan kawasan di kawasan berkenaan bagi memastikan tiada sebarang perhimpunan akan diadakan esok.

“Saya nasihatkan orang ramai agar jangan sertai perhimpunan ini bagi mengelak dikenakan tindakan tegas dan kita juga pantau perkara ini dari masa ke semasa,” katanya.

Tidak diketahui siapakah penganjur dan apakah esok akan benar-benar wujud perhimpunan seperti yang dikatakan tetapi pihak polis memberi peringatan awal kepada orang ramai supaya tidak menyertainya.

Semalam, harga minyak RON 95 meningkat daripada RM2.10 ke RM2.30 selepas program rasionalisasi subsidi oleh kerajaan mengurangkan subsidi ke atas bahan api itu sebanyak 20 sen.

Pelbagai pihak tampil memberikan pendapat meminta kerajaan mengkaji semula kenaikan itu kerana dilaksanakan dalam waktu yang dikatakan kurang sesuai kerana begitu hampir dengan sambutan Hari Raya Aidiladha. – MYNEWSHUB

Oleh : IBNU K

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.