Firma Ubat Terkemuka Nama ISIS Pun Kena Tukar Nama

LOS ANGELES – Sebuah firma ubat-ubatan terkenal yang sahamnya didagangkan di bursa elit Nasdaq, Isis Pharmaceuticals, terpaksa menukar namanya untuk elak daripada dikaitkan dengan kumpulan pengganas ISIS.

Menurut kenyataan syarikat farmaseutikal itu pada 18 Disember, ia kini bakal menggunakan nama rasmi Ionis Pharmaceuticals; yang jauh membezakannya dengan ekstremis dikenali dengan nama pendek ISIS, IS dan ISIL.

“Kami memutuskan untuk ubah nama syarikat kerana kami inginkan agar orang ramai yang dengar nama syarikat kami, mereka hanya memikirkan tentang ubat-ubatan kami yang menyelamatkan nyawa,” kata Lyn Parshall.

Beliau yang juga ketua pegawai operasi di Ionis Pharmaceuticals berkata, nama yang digunakan sebelum ini menjadi “satu masalah besar” susulan insiden serangan berdarah di ibu kota Perancis, Paris pada bulan lalu.

Baca: Butik ISIS Disangka Polis Sebagai Pengganas

Juga: Ribut Isis Tukar Nama Elak Dianggap Teroris

Lagi: TPM – Panggil Militan Ini Daesh Bukan Lagi IS

Kejadian tragik dipercayai dilancarkan kumpulan pelampau IS menyebabkan firma perubatan ternama Amerika Syarikat itu dipandang serong konon dianggap ada kaitan dengan rangkaian pengganas Asia Barat tersebut.

Isis asalnya rujuk nama dewi terkenal zaman Mesir kuno tetapi dipopularkan militan itu selain IS atau ISIL; sekali gus menyebabkan banyak pihak di seluruh dunia kebetulan memang bernama ISIS pun dianggap pengganas.

Menurut jurucakap Ionis Pharmaceuticals, Wade Walke, saham syarikat itu yang sudah lama diperdagangkan dalam Nasdaq di New York, mempunyai modal pasaran bernilai kira-kira AS$6.9 bilion (RM29.6 bilion).

Firma tersebut dikenali dengan ubat-ubatan khusus bagi penyakit-penyakit ganjil dan perubahan nama itu turut melibatkan alamat web yang kini dikenali sebagai www.ionispharma.com. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...