Buat Bodoh… Begini Cara DAP Layan Pas?

KETIKA pembangkang ‘kelu’ apabila melihat sambutan meriah mangsa gempa bumi di Sabah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa; rupa-rupanya ada benda cuba disorok daripada diketahui ramai.

Alkisah pada 7 Jun lalu, dua hari selepas negeri di bawah bayu itu digegarkan dengan gempa terkuat dalam sejarah yang meragut ramai nyawa, media tempatan melaporkan sesuatu yang boleh dianggap ‘nadir’ dan pelik berlaku.

Siap bergambar mesra lagi, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelihatan bersama-sama dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sebuah pusat operasi bencana berdekatan kaki Gunung Kinabalu.

Pembangkang waktu itu yang resah dengan usul ‘perceraian’ Pas dan DAP susulan muktamar di Kuala Selangor berakhir 6 Jun lalu cuba memainkan isu ketiadaan Najib yang kebetulan berada di Arab Saudi atas urusan rasmi.

Padahal Muhyiddin selaku Pengarah Jawatankuasa Bencana Negara memang kelaziman akan menjadi orang No.1 dalam mengurus segala perkara apabila berlaku sesuatu malapetaka dan semua sebetulnya dikoordinasi Najib.

Tanpa dirancang sesiapa, Muhyiddin bertemu pula Abdul Hadi di tempat yang sama dikelilingi ramai pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah dan perjumpaan dramatik itu heboh dalam kalangan media sebagai amat unik.

Secara kebetulan, Abdul Hadi sebelum itu teruk ditohmah pemimpin DAP terutama penasihatnya, Lim Kit Siang sebagai ejen UMNO yang pernah memperjuangkan kerajaan perpaduan antara dua parti umat Melayu tersebut.

Itu mungkin kebetulan, namun apa yang lebih kebetulan dan secara kebetulan tidak pula diperbesarkan oleh pembangkang ialah pertemuan kebetulan antara Kit Siang dan Abdul Hadi sebelum itu yang lebih aneh dan pelik.

Kedua-duanya ‘otai’ parti masing-masing tetapi pertemuan tidak disengajakan itu berlangsung dalam suasana hambar, tidak mesra bahkan mereka kemudian berjalan ke arah yang berbeza seolah-olah macam tiada apa-apa!

Beberapa portal propembangkang melaporkan secara sekilas lalu bahawa Kit Siang menghulurkan tangan untuk bersalam, ironi Abdul Hadi teragak-agak berjabat walaupun akhirnya mereka berjabat juga secara terpaksa.

Tiada sebarang ucapan, apatah lagi bertanya khabar, “Awak buat apa di sini?”, “Bila masa sampai Sabah?”, “Semalam muktamar tu, apa cerita?” atau apa-apa soalan menggambarkan dua tokoh itu dari Pakatan Rakyat.

Mentang-mentanglah Pakatan Rakyat itu sendiri pertubuhan haram yang tidak sah kerana tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan, sekurang-kurangnya apalah salah berbual sebagai pemimpin sama sehaluan yang anti-BN.

Kekok atau terkejut sebab mereka berdua kebetulan baharu sahaja ‘menghentam’ sesama sendiri sebelum itu, Kit Siang dan Abdul Hadi tidak ubah macam orang asing, ironi imej berbeza antara Muhyiddin dan Abdul Hadi.

Apakah ini petanda awal bibit-bibit kehancuran Pakatan Rakyat yang cuba disembunyikan mereka ibarat retak menanti belah dan selama ini hanya tidur sama bantal tetapi mimpi pula lain-lain? Fikir-fikirkanlah sejenak!

Bak kata Ketua Penerangan Pas, Mahfuz Omar ketika muktamar, usul putus hubungan dengan DAP tidak boleh dibahaskan kerana ia menjejaskan ‘kepentingan’ Pas, maka faham-faham sahajalah maksud tersirat itu. – MYNEWSHUB.CC