Beg Pakaian MH370 Dijumpai Di Reunion?

PARIS – Ketika pasukan penyiasat Australia dan Malaysia bergegas ke pulau Reunion di Lautan Hindi susulan penemuan serpihan dipercayai milik MH370, media Perancis mula mendedahkan sesuatu yang lebih gempar!

Penemuan sebuah bagasi atau beg pakaian dikatakan milik penumpang pesawat MAS itu menjadi sensasi di seluruh dunia selepas disiarkan Linfo, sebuah laman web tempatan dari Reunion yang berbahasa Perancis.

Laman itu menyatakan, beg lusuh yang masih sempurna meskipun sudah terkoyak itu dijumpai seorang tukang kebun di pulau wilayah pentadbiran Perancis itu; tidak jauh dari lokasi serpihan pesawat ditemui pada Rabu.

Ia dipercayai sudah lama terdampar di pantai Saint Andre sebelum secara kebetulan ditemui lelaki berkenaan pagi Khamis dan dia sempat merakamkan sekeping gambar yang turut dimuat naik menerusi laman mikro Twitter.

mh370

Baca: Pakar Laut Australia Kata Ia Mungkin MH370?

Juga: MH370 Mungkin Sudah Sampai Madagascar?

Lelaki tempatan itu yang dikenali sebagai Johnny Begue mendakwa terserempak dengan beg itu ketika berjalan-jalan di tepi pantai dan tidak menyangka bagasi tersebut membawa berita besar sepanjang umur hidupnya.

Gambar eksklusif dikongsi Antoine Forestier itu mula disebarkan awal hari ini, sekali gus mencetuskan spekulasi kebarangkalian bangkai pesawat malang Boeing 777 tersebut berada dalam lingkungan perairan Reunion.

Bagaimanapun tiada maklumat terperinci disertakan pengirim berkenaan, manakala pihak berkuasa Perancis setakat ini juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan susulan mengenai penyiaran gambar tersebut. – MYNEWSHUB.CC

Sumber: www.skynews.com.au

Loading...