Kerajaan AS Hairan Militan Daesh Suka Sangat Toyota Hilux

WASHINGTON DC – Pejabat anti-terorisme Amerika Syarikat (AS) meminta penjelasan rasmi pihak Toyota apabila mendapati banyak kenderaan digunakan kumpulan militan Daesh selama ini ialah keluaran syarikat berkenaan.

Model Hilux selain kenderaan pelbagai guna jenis Sport Utility Vehicle (SUV) jenama Toyota sering dipakai sebagai ‘kereta rasmi’ malah disiarkan secara meluas menerusi semua video propaganda Daesh di Iraq, Syria dan Libya.

Memetik laporan stesen ABC News, pihak Toyota sendiri tampil menjawab dengan menyatakan bahawa syarikat autombil terbesar Jepun itu pun ‘tidak faham’ bagaimana ekstremis Daesh boleh mendapatkan kereta buatannya.

Gergasi kenderaan antarabangsa itu yang ditubuhkan sejak 1937 bahkan berjanji untuk menyokong usaha penyelidikan khas di bawah pembiayaan dana anti-terorisme yang diterajui oleh Jabatan Kewangan AS di sini.

Terdahulu, kerajaan AS melancarkan penyelidikan tersebut sebagai sebahagian usaha mereka untuk mencegah penjualan barang-barang buatan negara Barat daripada ‘jatuh’ atau dimiliki oleh kelompok teroris terbesar ini.

TOYOTA

“Kami menjelaskan kepada Jabatan Kewangan mengenai rantaian penjualan Toyota di rantau Timur Tengah dan juga prosedur diterapkan pihak ibu pejabat di Jepun untuk jaga tahap integriti pemasaran.

“Toyota memiliki syarat yang ketat iaitu tidak jual kenderaan kepada pembeli yang mungkin akan guna atau ubah suai kenderaan untuk aktiviti keganasan,” jelas Pengarah Sumber Manusia Toyota di Washington DC, Ed Lewis.

Sebahagian besar kenderaan jenama itu untuk pengguna rantau Asia Barat dan Afrika Utara dihasilkan di kilang cawangan Toyota di Turki dan Mesir dengan varian Standard dan Double Cab sama ada versi 2WD atau 4WD.

Toyota bagaimanapun mula menghentikan penjualan Hilux sejak tahun lalu hanya di Jepun, Korea Selatan dan Utara, Amerika Syarikat serta Kanada untuk digantikan dengan model baharu yang dilaporkan lebih canggih.

Baca: Gambar Design Trak Pikap Keluaran Proton Ini Gempak Habis!

isistoyota2

Model Hilux asalnya disebut sebagai Hi-Lux telah dihasilkan di Jepun pada 1968 untuk generasi pertama dan kini sudah memasuki generasi kelapan mulai awal tahun ini yang semuanya dihasilkan di kilang Toyota di Thailand.

Duta Besar Iraq di AS, Lukman Faily sebelum itu dilaporkan berkata, pemerintahannya cukup yakin kumpulan Daesh telah berjaya mendapatkan sejumlah ratusan unit Toyota model baharu dalam beberapa tahun terakhir ini.

Dalam pada itu pihak Toyota menjelaskan bahawa kebanyakan kenderaan yang disiarkan di dalam video Daesh itu bukanlah model Hilux baharu dan mungkin dirampas daripada pihak tertentu atau diseludup dari negara jiran.

Ini kerana berdasarkan pemantauan mereka, model berkenaan merupakan generasi ketujuh yang dibuat di kilang Toyota di Pakistan sejak 2005 sebelum dihentikan pengeluarannya tahun lalu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...