DEK kerana ingin merasai hidup mewah, ramai dalam kalangan muda-mudi zaman sekarang mencari jalan pintas untuk mengecap kemewahan.
Sering kali disiarkan di media sosial cerita mengenai kisah pekerja seks wanita namun jarang sekali mendengar kisah pekerja seks lelaki.
Bagaimanapun realitinya, ramai dalam kalangan lelaki sekarang tegar menjadi anak ikan atau peneman kepada golongan mak datin atau mummy demi sejumlah wang.
Viral di laman sosial satu sindiket agensi mencari jodoh yang menawarkan pekerjaan sebagai teman sosial bertauliah kepada golongan belia dengan menawarkan gaji lumayan.
Lebih memalukan lagi, agensi berkenaan ‘menjua’l nama Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Singapura, Hoong Wee Teck.
Ia turut tertera dalam borang permohonan pendaftaran sindiket terbabit untuk memperdayakan golongan muda-mudi dalam merealisasikan modus oprandi mereka.
Menurut laporan daripada laman Harian Metro, agensi ‘pekerjaan’ tersebut beroperasi di Johor Bahru dan menyasarkan mangsa dari kalangan penuntut kolej dan golongan belia.
Mereka ditugaskan untuk menjadi peneman atau anak ikan kepada mummy atau golongan wanita VVIP yang agak kesunyian.
Tambah laman itu lagi, agensi berkenaan turut menawarkan gaji lumayan kepada anak ikan yang sanggup memberi ‘servis’ mereka sehingga mencecah RM3,500 hingga RM4,000 untuk setiap ‘perkhidmatan’ yang dilakukan.
Bagaimanapun, individu berminat diminta mendaftar sama ada melalui aplikasi WhatsApp atau dalam talian terlebih dahulu dengan agensi terbabit yang mendakwa memiliki senarai nama pelanggan wanita kaya yang memerlukan khidmat lelaki muda.
Malah untuk meyakinkan mangsa, agensi itu mendakwa menjalankan operasi itu secara sah dan mendapat kebenaran polis Malaysia dan Singapura. – MYNEWSHUB.CC