Remaja Tidak Kesal Potong Tangan Sendiri

ISLAMABAD – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun di Pakistan yang memotong tangannya kerana menyangka dirinya sebagai kufur berkata, dia tidak menyesali perbuatannya itu.

Remaja itu memotong tangannya selepas imam yang memberi syarahan di sebuah masjid di wilayah Punjab menyuruh sesiapa yang tidak sayangkan Nabi Muhammad (SAW) supaya mengangkat tangan.

Remaja terbabit mengangkat tangan kerana tersilap faham soalan diajukan menyebabkannya dituduh kufur dan digesa bertaubat.

Kerana takut, remaja itu pulang dan memotong tangannya sendiri menggunakan sabit.

“Imam itu berkata, sesiapa yang tidak percayakan ajaran Rasulullah supaya mengangkat tangan. Saya tersilap mendengar soalan itu sebenarnya.

“Apabila dituduh kufur, saya pulang ke rumah, memotong tangan sendiri dan membawanya kepada imam itu di atas dulang.

“Namun saya tidak menyesal perbuatan itu kerana ia demi mempertahan Islam. Tidak sepatutnya saya rasa sakit atau sedih memotong tangan yang diangkat untuk menentang Rasulullah,” katanya kepada BBC.

Imam terbabit ditahan polis Pakistan atas tuduhan menghasut kebencian yang secara tidak langsung turut membahayakan nyawa mangsa yang dituduh kufur.

Kekufuran isu amat sensitif di Pakistan dengan orang ramai sering membunuh sesiapa dianggap menghina Islam. – Agensi/myMetro Online

Loading...