Pulau Pengelap Kepri Coral Tarikan Baharu Di Batam

BATAM (Indonesia) – Pulau Pengelap Kepri Coral kini menjadi tarikan terbaru pelancongan di sini walaupun proses pembangunan secara berperingkat di pulau itu sedang giat dilaksanakan syarikat PT Malindo Marine Shipyard dengan pelaburan awal kira-kira RM48.75 juta.

Pengarah Urusan PT Malindo Marine Shipyard, Harmanto Tan berkata selain meneroka keindahan alam semulajadinya dan pelbagai hidupan marin, pulau berkeluasan kira-kira 500 hektar itu turut menawarkan pelbagai tarikan lain seperti aktiviti sukan lasak dan mini zoo.

Beliau berkata pulau itu dibangunkan sejak tiga tahun lepas dan dijangka siap keseluruhannya pada 2021, namun pihaknya sudah menerima kunjungan pelancong sejak dua tahun lepas.

“Pulau ini dijangka secara rasminya akan dibuka kepada umum, awal bulan depan,” katanya kepada 30 pengamal media Johor yang mengikuti lawatan ke pulau berkenaan, di sini, baru-baru ini. Hadir sama, Presiden Kelab Media Johor (KMJ) Mohamad Fauzi Ishak.

Harmanto yang juga pemilik pulau berkenaan berkata pelaburan awal tersebut merangkumi proses pengambilalihan pulau, membina kolam renang, platform dan tambakan bagi pembinaan jeti serta penginapan sementara mengandungi 10 bilik di atas pontoon.

Beliau berkata pihaknya turut mengutamakan pelancong daripada Malaysia untuk mengunjungi pulau tersebut dan sudah melantik ejen bagi memperkenalkan pakej tiga hari dua malam ke pulau berkenaan.

“Kita akan memberi layanan istimewa kepada pelancong Malaysia kerana hubungan kita adalah erat bagaikan ‘kakak dan adik’.

“Selain mandi di kolam renang, antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah menaiki jet ski, snorkeling kerana Pulau Pengelap kaya dengan batu karang dan hidupan marin seperti penyu, ketam dan kerang gergasi serta beriadah dengan kenderaan lasak (ATV),” katanya.

Harmanto berkata usaha sedang giat dilakukan untuk menyiapkan zoo mini yang antaranya bakal menempatkan sejumlah spesies burung dan rusa, kawasan aktiviti sukan ekstrem flying fox setinggi 350 meter, ‘rumah tarzan’ serta santuari penyu.

Beliau berkata pembangunan di pulau tersebut dilakukan dengan penuh teliti bagi memulihara alam semula jadinya.

Sementara itu, Mohamad Fauzi berkata KMJ berfungsi sebagai duta kecil yang membawa nama negara termasuk membantu memperkenalkan produk pelancongan kerajaan negeri Johor.

“Kita (KMJ) menjadi jambatan penghubung dalam aktiviti pelancongan di Malaysia secara amnya dan Johor khususnya. Kita juga menjadi ‘Friends of Tourism Johor’ sejak 2015 yang bergiat aktif dalam mempromosikan industri pelancongan,” katanya. – BERNAMA

Loading...