Ambil Hati Pesakit, Doktor Pakar “Bedah” Teddy Bear

TINDAKAN seorang pakar bedah Kanada “membedah” seekor teddy bear baru-baru ini terus mendapat perhatian.

Selepas sohor di Kanada, tindakan lakar bedah terbabit kini disebut-sebut di seluruh dunia.

Dr Daniel McNeely bersetuju membedah patung beruang mainan itu atas permintaan pemiliknya.

Jackson McKie, lapan tahun, sedang menuju ke dewan bedah apabila dia meminta doktor terbabit turut merawat patung mainannya, yang dinamakan Little Baby.

Jackson menghidap satu penyakit melibatkan otak, dan Dr McNeely merupakan salah seorang doktornya sejak lahir.

“Tidak tergamak saya hendak menolak,” kata Dr McNeely dalam Twitternya, disertai dengan gambar “pembedahan.” Tweet itu dikongsi lebih daripada 7,000 kali.

Beliau mengatakan beruang mainan itu mengalami koyak di bahagian bawah lengan, dan mengenakan mainan tersebut “topeng oksigen” sepanjang prosedur.

Kedua-dua pesakit berehat dan pulih dengan baik selepas prosedur.

Dr McNeely, yang bertugas di Pusat Kesihatan IWK di Halifax, Nova Scotia melaksanakan prosedur yang membolehkan cecair yang terkumpul dalam otak Jackson dikeluarkan.

Keluarga kanak-kanak itu berterima kasih pada Dr McNeely kerana sedia melayan permintaan anak mereka dan membuatkannya rasa selesa sebelum pembedahan.

Kata bapa Jackson, Rick McKie, anaknya amat berbangga, malah meletakkan beruang mainannya di sebelahnya selepas pembedahan. – Agensi