Microsoft Dan Yahoo! Berminat Menjadi Enjin Carian Pada Apple

Baru-baru ini, Mozilla telah memilih Yahoo! sebagai penyedia enjin carian utama mereka di Amerika Syarikat dengan menggantikan Google sebelumnya, selain turut membuat perubahan di beberapa negara lain.

Dengan tahun 2015 yang menjelang tiba, kini satu lagi persoalan yang timbul adalah adakah Apple akan beralih daripada penggunaan enjin carian Google pada pelayar web mereka?

Menurut laporan awal, Yahoo! dan Microsoft dilihat berminat untuk menggantikan Google pada pelayar web Safari.

Memandangkan Safari merupakan pelayar web utama yang terdapat pada produk Apple seperti pada komputer OSX, iPhone dan iPad, ia sekaligus menjadikan Google sebagai enjin carian utama pada peranti-peranti tersebut.

Tidak diketahui lagi sama ada pihak Apple akan menggantikannya ataupun tidak, namun akhir-akhir ini, mereka telah menggantikan Google Maps dan membuang YouTube.

Apa pun, pada masa sama Apple sering mengutamakan pengalaman pengguna jadi tidak diketahui sama ada di bawah Tim Cook, Google akan digantikan atau tidak bagi memberikan pengalaman penggunaan yang baik kepada pengguna – terutama mereka yang berada di luar Amerika Syarikat.

Sumber: THE INFORMATION

Oleh: hzqahmd/MYNEWSHUB.CC