Google Umum Sokongan Terjemahan Melalui Kamera

PERKEMBANGAN dunia teknologi yang bergerak pantas, membuat ramai yang inginkan sesuatu perkara dilakukan secepat yang boleh.

Baru-baru ini, Google mengumumkan kemaskini kepada aplikasi Google Translate mereka, yang memfokuskan kepada terjemahan pantas dalam masa nyata.

Seperti sedia maklum, Google Translate sedia menyokong kebolehan menterjemah sesuatu papan tanda dan sebagainya dengan menggunakan kamera telefon di hadapan dan ia akan diterjemahkan mengikut bahasa tetapan anda.

Melalui kemaskini yang diumumkan oleh Google hari ini, fungsi tersebut kini beroperasi dengan lebih pantas dalam bentuk masa nyata, malah turut menyertakan sokongan offline.

Untuk permulaan, ia hanya terhad untuk beberapa bahasa sahaja, iaitu Bahasa Jerman, Perancis, Portugis, Itali, Rusia dan Sepanyol ke bahasa Inggeris sahaja.

Google mengatakan akan memperluaskan kepada beberapa bahasa lain tidak lama lagi.

Pada masa sama, sebuah lagi kemaskini yang diumumkan adalah sokongan terjemahan suara, di mana kini anda boleh mengucapkan perkataan dan aplikasi tersebut akan menterjemah secara automatik dengan pantas.

Fungsi ini mungkin sesuatu yang berguna bagi anda yang sering ke luar negara, dan menggunakannya dalam berbual ataupun bertanyakan sesuatu perkara.

Kemaskini ini akan hadir dalam versi Google Translate terbaru untuk peranti mudah alih tidak lama lagi. -MYNEWSHUB.CC

Sumber: Google Blog

Oleh: hzqahmd