Di Pakistan, Lelaki Dipenjara 13 Tahun Gara-Gara Status FB

MEMUAT naik status di laman sosial Facebook merupakan perkara yang biasa dilakukan oleh pengguna alam maya.

Jika status tersebut agak menarik perhatian, ia pasti akan dihujani komen dari rakan-rakan terdekat dan sekiranya anda menulis sesuatu yang agak keterlaluan, ia boleh membinasakan si pemuat naik.

Di Malaysia, kerap kali kita melihat status kurang bijak di laman Facebook menjadi viral. Seperti beberapa bulan lalu, kes seorang lelaki memuat naik status menghina penjaga tempat letak kereta KLCC dan akhirnya dia terpaksa memohon maaf diatas kebodohan sendiri.

Baca: Kisah Peter Cheng Untuk Iktibar Puak Rasis Di Luar Sana

Dalam kes ekstrem, status provokasi melampau seperti yang dilakukan oleh Alvin Tan contohnya menyebabkan dia melarikan diri sehingga ke Amerika Syarikat.

Kini di Pakistan, mereka juga serius tentang status Facebook yang menyinggung perasaan orang ramai.

Rizwan Haider dijatuhkan hukuman penjara 13 tahun oleh mahkamah Pakistan kerana status Facebook yang diletakkan pada profil beliau.

Status yang dimuat naik Januari lalu dikatakan menghina fahaman umat Islam sunni Pakistan.

Selain dipenjara beliau turut didenda sebanyak Rs 250000 (~RM 9696).

Peguam beliau akan merayu keputusan mahkamah kerana Rizwan Haider hanya melakukan “like” pada status tersebut dan bukanlah penulis asal.

Kes ini mempunyai persamaan dengan kes seorang pelajar sekolah di Pulau Pinang yang melakukan like pada laman I Love Israel di Facebook pada tahun 2014.

Beliau kemudian disiasat di bawah akta hasutan. Sehingga ini kesinambungan kes ini masih belum diketahui.

Sebagai rakyat Malaysia marilah kita sentiasa menjaga tatasusila ketika di atas talian.

Tidak semua benda berbuku di hati harus dimuat naik ketika marah, simpan sahaja sebelum ia memakan diri.-MYNEWSHUB.CC

Sumber: Times Of India

Loading...