‘The Gold Coin’ Filem Epik Sulung Terbitan Wollywood

JARANG sekali filem epik atau penggembaraan mendapat tempat di hati penerbit untuk menerokai genre seperti itu untuk menarik minat penonton ke panggung wayang.

Balik-balik filem cinta dan aksi yang menjadi pertaruhan mereka.

Bertitik tolak dari itu, sebuah syarikat penerbitan baharu, Major Axis Sdn. Bhd. dengan kerjasama Wollywood Production Sdn. Bhd. mengambil langkah berani dengan menerbitkan filem ‘The Gold Coin’.

Menurut penerbitnya, Yank Kassim, ‘The Gold Coin’ merupakan satu filem yang lain dari yang lain daripada filem-filem Melayu sebelum ini.

Penerbit 'The Gold Coin' , Yank Kassim.
Penerbit ‘The Gold Coin’ , Yank Kassim.

Ini kerana ia menggabungkan pelbagai genre dalam sebuah filem.

“Kepercayaan terhadap penerimaan penonton kepada filem bergenre Suspen (Thriller) Klasik Moden bukan hanya melalui kajian yang dilakukan sebaliknya filem bergenre ini lebih bersifat universal.

“Kecenderungan minat serta permintaan tinggi dari penonton filem Melayu khususnya sedikit sebanyak memberi idea kepada Major Axis dan Wollywood Production,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem ‘The Gold Coin’ di Melaka, baru-baru ini.

Filem yang bakal memulakan penggambarannya awal tahun depan itu dibintangi pelakon popular masa kini, Fattah Amin dan Raja Ilya.

Penampilan mereka turut akan diserikan dengan barisan pelakon lain seperti Yuzz, adik Syamim Razi, Redzuan Hashim, Yank Kassim, Zuraini Kassim dan Keena Mentor.

Fattah Amin & Raja Ilya diberi tanggungjawab menggalas watak utama dalam ‘The Gold Coin’.

‘The Gold Coin’ menggabungkan hasil kerja dua pengarah berpengalaman, MP Roslin dan Amith Abidin yang sebelum ini pernah menggarahkan naskhah seni seperti Sepah The Movie, Dendam Berdarah dan Suamiku Encik Sotong.

Filem yang menelan belanja RM3 juta ini telah memilih Kuala Lumpur dan Melaka sebagai latar tempat bagi menggambarkan perjalanan cerita tersebut.

‘The Gold Coin’ mengisahkan peluru dan duit syiling emas peninggalan pahlawan terbilang zaman dahulu kala.

Di zaman itu terdapat seorang pahlawan yang berjuang untuk menyelamatkan penduduk kampung yang dihimpit kemiskinan kerana tekanan dari penjajah.

Pahlawan Panglima Garang, mencuri wang dan harta benda dari rumah orang-orang kaya dan diagih-agihkan kepada penduduk kampung. Kisah pencuri budiman itu tersebar luas di seluruh bandar berkenaan membuatkan pemerintah penjajah John Marthias, berasa marah dan mengarahkan untuk menangkap pencuri tu dan dijatuhi hukuman mati.

IMG_5428
Pelakon The Gold Coin, Yuzz dan adik Syamim Razi. 

Setelah seratus tahun berlalu bandar tempat Panglima itu mati terkubur, kawasan perkampungan itu sudah berubah moden.

Sebuah syarikat perumahan mahu membina sebuah bangunan di kawasan kubur lama yang mana menempatkan kubur Panglima Garang.

Ketika pekerja sedang rancak membuat kerja-kerja penggalian di tanah kawasan projek itu, mereka telah terjumpa satu kerangka tengkorak dan tulang-tulang manusia purba.

Sehubungan penemuan itu, mereka telah memanggil seorang pakar sejarah untuk mengkaji tentang kubur lama di tapak projek itu secara lebih teliti dan mendalam.

Nak tahu kesudahannya, anda harus menantikan tayangan filem ini yang dijangka keluar pada penghujung tahun hadapan. – MYNEWSHUB.CC

Leave a Reply