Shaheizy Sam Dilantik Duta Baru Jenama Jam Tangan Alba

KUALA LUMPUR – Pelakon terkenal tanah air, Shaheizy Sam Abdul Samad dilantik sebagai duta jenama jam tangan, Alba.

Ini adalah kali pertama jenama Alba, yang berasal dari Jepun melantik duta produk berbangsa Melayu.

Lebih dikenali dengan panggilan Sam sahaja, pelakon ini akan berperanan sebagai jurucakap Alba untuk Malaysia, Brunei dan Singapura.

Sejak 35 tahun lalu, rangkaian jam tangan jenama Alba dikenali rakyat Malaysia sebagai jenama jam terkemuka, terutama melalui penajaan selama lima tahun untuk Kejohanan Badminton Dunia pada 1980-an.

PEMILIHAN KERANA PENCAPAIAN

Menurut Isao Tanaka, Pengarah Urusan Negara bagi Seiko Hong Kong Ltd. ditemui pada majlis tandatangan Alba dan Seiko dalam satu acara di ibu negara, pemilihan Shaheizy Sam adalah satu pilihan tepat buat Alba.

“Shaheizy mewakili masyarakat Malaysia. Beliau rajin, profesional, bertenaga, serba boleh dan dikenali kerana personaliti dan imej baiknya. Inilah kualiti jam tangan Alba,” katanya.

sam1

Tambah Tanaka, seperti Shaheizy yang mampu melakonkan pelbagai watak dengan berjaya, jam-jam jenama Alba juga memiliki sifat sesuai dipakai untuk ke pelbagai acara baik formal ataupun santai.

Dengan perlantikan ini Alba menjangka jualan akan terus meningkat dengan cepat dalam masa beberapa bulan sehingga akhir tahun 2015 dan peratusan jualan dijangka meningkat ‘dua digit’ dalam masa tiga tahun.

BANGGA DAN TERHARU

sam2

Mengulas tentang perlantikan itu, Shaheizy berkata beliau berasa gembira kerana dipilih sebagai duta jenama Alba.

“Sejak kecil saya kagum dengan reka bentuk dan fungsi jam Alba. Ia ‘sporty’ tapi elegan. Sesuai dipakai dalam apa jua keadaan. Ia adalah jam yang sempurna untuk golongan muda,” komennya.

Pemenang Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dan Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014 tersebut turut menyatakan mewakili jenama Alba merupakan satu penghargaan luar biasa yang diterimanya.

Beliau turut yakin, berdasarkan sokongan padu selama ini, para peminat Shaheizy akan turut memilih untuk menggunakan jam Alba kerana memang selama ini mereka suka mengunakan produk yang digunakan beliau.

KOLEKSI BAHARU MUSIM PANAS

Turut dilancarkan, jam-jam reka bentuk baharu Koleksi Musim Bunga dan Musim Panas 2015 – SignA yang diilhamkan untuk aksi sukan dengan ciri-ciri ketangkasan dan kelasakan tersendiri.

Dengan lapan reka bentuk yang menampilkan gaya kemas dan positif, koleksi itu turut disertakan dengan satu model edisi terhad dengan rekabentuk bercirikan tiga dimensi.

Pengurus Besar Thong Sia Sendirian Berhad yang memegang hak pengedaran jam Alba berkata, koleksi itu menyasarkan pelanggan golongan muda yang mengamalkan gaya hidup cergas.

Antara ciri yang boleh didapati adalah kalis air sedalam 100 meter, fungsi ‘chronograph’ dan kotak jam diperbuat daripada logam.

Harga untuk kesemua model bermula daripada RM735 hingga RM910 kecuali model edisi terhad yang dijual pada harga RM980. – BERNAMA

ALBA Watches – SignA AV6024X

Loading...