Jackie Chan Tak Percaya Bini, Pernah Jahat Waktu Muda

BEIJING – Pelakon terkenal kelahiran Hong Kong, Jackie Chan mendedahkan pelbagai rahsia mengenai kehidupannya semasa pelancaran buku eksklusif mengenai kisah dirinya sendiri, ‘Growing Old Before Growing Up‘ di ibu negara China pada Selasa, menurut laporan agensi berita tempatan.

Antara coretan yang dikongsi Chan, dan kebetulan menyambut hari kelahirannya ke-61 tahun pada 7 April lalu ialah beliau berkahwin hanya kerana berasa bersalah memiliki anak luar nikah dengan kekasihnya, Joan Lin.

Chan atau nama sebenarnya Chan Kong-sang menyatakan berkahwin dengan Lin hanya kerana dia hamil anaknya pada 1982. Apabila ditanya hal tersebut pada pelancaran bukunya, Jackie Chan setuju dengan cerita itu.

“Pada waktu itu saya mempunyai ramai teman wanita dan ingin memilih hanya yang terbaik,” kata Chan yang turut menambah memilih Lin atau nama asalnya, Lin Feng-jiao kerana beliau senang dengan teman-temannya.

Bergambar dengan isterinya semasa muda. – Gambar hiasan

Chan namun berasa dirinya dipaksa berkahwin dengan Lin selepas mengandungkan anak lelaki mereka, Jaycee ketika itu. Beliau juga mengaku cuba untuk mencari pelbagai cara supaya isterinya, Lin meninggalkannya .

“Saya tidak percaya kepada wanita ketika itu. Saya takut mereka akan menipu wang saya. Apabila dia belajar di Amerika Syarikat dan saya berada di Hong Kong, saya akan memberi wang setiap hari.

“Namun saya hanya akan memberi dia wang yang sedikit serta cuba untuk memikirkan cara-cara untuk mendapatkan perceraian daripadanya supaya isteri saya tidak akan mendapat satu sen pun daripada saya.

“Memang saya yang berniat tidak baik,” kata pelakon itu sambil berkata dia sedar dia salah menghakimi Lin dan menjadi kagum apabila mempelajari tentang ketaatan isterinya.

Jackie Chan bersama ahli keluarganya. – Gambar hiasan

Chan juga mendedahkan bahawa dia adalah seseorang yang sombong pada masa mudanya dan melakukan perkara-perkara yang dia beliau pasti tidak akan bangga.

“Siapa tidak pernah buat kesilapan? Semua orang pada zaman muda pernah buat silap. Cuma saya bernasib baik pada masa itu. Jika ada paparazi ataupun media yang luas seperti hari ini, saya sudah akan dihukum penjara seumur hidup, “kata Chan.

“Jenayah yang kami buat dulu terlalu besar – kami calarkan kereta, curi tayar kereta orang dan lempar najis anjing di rumah-rumah orang ketika mereka sedang tidur. Kami melakukan terlalu banyak perkara-perkara buruk.

“Saya juga pernah terlibat dalam kemalangan dan melanggar sebuah kereta dalam keadaan mabuk. Pada masa itu, kami juga akan menumbuk wartawan yang berani untuk mengambil gambar kami di luar.

Gambar hiasan

“Dan wartawan tersebut akan melarikan diri. Tetapi kini, kami tidak akan berani melakukannya!” kata Chan yang turut mengakui dia bukanlah seseorang yang akan cuba aksi nekad di luar set penggambaran.

Walaupun Chan banyak melakukan aksi-aksi berdebar, beliau sebenarnya cuba mengelakkan dirinya daripada sebarang bahaya ketika tidak menjalani penggambaran yang berisiko kepada kecederaan.

“Saya tidak akan berhenti di bawah jejantas kerana takut jejantas itu mungkin akan roboh dan hempap diri saya. meskipun saya berani melakukan apa sahaja aksi lagak ngeri dalam filem.

“Namun di luar, jika anda cabar saya untuk melakukan aksi lompat bungee atau menaiki ‘rollercoaster‘, saya tidak akan melakukannya. Saya tidak akan buat suatu penggorbanan yang sia-sia. - Agensi/A.AMREE