10 Artis Malaysia-Singapura Tampil 22 Lagu P. Ramlee

KUALA LUMPUR – Sebanyak 22 lagu Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee bakal didendangkan 10 artis Malaysia dan Singapura dalam konsert Muzika Ekstravaganza 2016 anjuran bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan MediaCorp pada 19 Februari.

Timbalan Ketua Pengarah (Penyiaran Strategik) RTM, Datuk Adilah Shek Omar berkata, P. Ramlee merupakan ikon hiburan bagi kedua-dua negara dan Allahyarham dianggap sebagai penghubung masyarakat pelbagai bangsa.

“Kita lihat P. Ramlee sebagai satu ikon hiburan menyatupadukan Malaysia-Singapura. Ia sangat bersesuaian dengan sambutan edisi ke-10 konsert ini dan ulang tahun ke-70 RTM 1 April nanti,” katanya pada sidang media di Angkasapuri, di sini.

Adilah berkata selain hiburan kepada penonton, RTM turut beri peluang kepada artis baru untuk mendendangkan lagu-lagu ciptaan P. Ramlee bagi memastikan karya beliau tetap malar segar dan relevan kepada semua pihak.

Menampilkan gandingan pengacara Malaysia, Ungku Ismail dan Nadiah M. Din dari Singapura, Muzika Ekstravaganza 2016 menampilkan Naseer Wahab, Siti Nordiana, Azlan The Typewriter, Hafiz Suip, Azhael dan Farahdhiya.

Singapura pula membariskan artis ternama republik itu iaitu Taufik Batisah, Hariani Hassan Bakri, Sufi Rashid, Rosalina Musa, dan Sezairi. Ia akan diadakan di Auditorium Perdana Angakasapuri di Kuala Lumpur.

Persembahan selama dua jam bermula 8.30 malam itu akan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV2 RTM dan MediaCorp TV 12 Suria untuk liputan siaran di Singapura. – BERNAMA/Mynewshub.cc/HAA

Leave a Reply