Taiwan Menepati Aspek-Aspek Penting Untuk Pelancong Muslim

MENURUT Indeks Pengembaraan Muslim Global 2019 (GMTI) yang diterbitkan April lalu, ada empat aspek serta perkhidmatan wajib di sesebuah negara atau lokasi yang menjadi penanda aras kepada berminat atau tidak pelancong beragama Islam untuk datang ke sana.

Berikut adalah empat aspek atau perkhidmatan yang dimaksudkan itu:

Makanan Halal

Menurut GMTI, perkara paling penting yang perlu ada di sesuatu negara atau lokasi ialah makanan halal. 

“Ia adalah perkhidmatan yang paling penting dicari pelancong Islam,” kata laporan itu.

Memiliki premis menghidang makanan dengan logo halal yang mudah dilihat adalah satu kelebihan yang ketara. Ia akan mengurangkan rasa prejudis dan was-was di kalangan pelancong.

Kemudahan Untuk Ibadah Solat

Mengerjakan solat adalah satu satu rukun Islam yang sangat dituntut. Di mana pun kita berada, hukum mengerjakan solat adalah wajib.

Islam memberikan kelonggaran seperti Qada dan Jamak namun ia tetap perlu dilaksanakan.

Justeru, negara yang berminat untuk menarik pelancong Islam, perlu memastikan wujudnya kemudahan mengerjakan solat yang secukupnya dengan penunjuk arah kiblat yang tepat.

Masjid dan surau yang secukupnya adalah satu kemestian dalam menarik pelancong muslim berkunjung.

Tandas Dengan Kemudahan Air

Dalam Islam, air memainkan peranan penting untuk penyucian dan kebersihan, yakni sifat penting dalam mengukur keimanan seseorang.

Menurut GMTI, sesuatu yang sangat tidak digemari pelancong Muslim ialah kemudahan tandas yang tidak menyediakan bekalan air bagi tujuan kebersihan.

Ia menyukarkan pengunjung muslim untuk membersihkan diri seperti yang mereka mahu.

Namun, masalah itu dilihat semakin berkurangan di serata dunia berikutan pengenalan tandas gaya Jepun dan yang menggunakan bidets.

Tiada Islamophobia

Menurut GMTI, Dengan perasaan anti-Islam yang agak kuat di sesetengah wilayah, pelancong agama itu mengambil pendekatan menjauhkan diri daripada mengunjugi kawasan berkenaan.

“Seperti juga pelancong lain, pelancong Muslim juga mahu keselamatan mereka terjamin di kawasan mana yang mereka pergi,” katanya.

Dengan bertambahnya jenayah kebencian di serata dunia, keselamatan telah menjadi perhatian utama kepada pengembara Muslim. Sesuatu lokasi yang selamat akan lebih menjadi tumpuan.

Justeru itu, apakah satu negara bukan Islam yang mungkin memenuhi kriteria di atas?

Jawapan penulis sendiri ia adalah Taiwan.

Di bawah Dasar Baru Pandang Ke Selatan (New Southbound Policy), kerajaan negara terbabit dilihat bersungguh-sungguh mahu menarik pelancong Islam ke negara itu.

Bukan sekadar slogan, tetapi mereka juga berbuat sebaik mungkin agar pengembara Muslim ke Taiwan merasa selesa ketika berada di sana.

Empat kriteria utama di atas amat diberikan penekanan.

Menurut GMTI, Taiwan yang baru setahun dua aktif menarik pelancong Islam, berjaya menduduki tempat kelima kategori negara mesra Muslim dari kalangan negara bukan Islam.

Pencapaian luar biasa itu didorong kesungguhan kerajaan negara berkenaan dalam menarik masyarat Islam melihat keindahan semula jadi Taiwan.

Malah, pada Oktober tahun lalu, Pusat Halal Taiwan menerima Anugerah Emas Majlis Pelancongan Malaysia atas kejayaannya mempromosikan persekitaran dan kemudahan mesra Islam di negara berkenaan.

Pusat itu dilaporkan berjaya membantu 954 perniagaan dan 13,000 produk di Taiwan memperoleh pensijilan halal, seperti dilaporkan majalah Taiwan Today dalam edisi November tahun lalu.

Bagi yang pernah menjejakkan kaki ke negara itu, pasti tahu sebaik tiba di lapangan terbang utama negara itu pun dah boleh jumpa surau dan tandas dengan kemudahan air bagi bersuci.

Malah ada berbelas buah masjid di negara pulau selain usaha berterusan kerajaan negara itu membantu banyak hotel bertaraf empat dan lima bintang memperoleh status halal.

Shangri-La’s Far Eastern Plaza Taipei Hotel umpamanya, mempunyai dapur berasingan bagi menyediakan makan halal untuk pengunjung beragama Islam. 

Harus juga diberikan perhatian bahawa tidak ada satu pun kes Ismaophobia yang dilaporkan di negara itu. Ini kerana Taiwan adalah antara negara dengan kepadatan masyarakat terpelajar tertinggi di dunia dan masyarakatnya dikenali bersifat lemah lembut.

Ternyata, melangkah ke Taiwan sebagai destinasi pilihan baru satu pilihan yang tepat bagi pengembara Muslim.

Ayuh, tunggu apa lagi…jom jejakkan kaki ke Taiwan tanpa sebarang keraguan.

Bagi yang mahukan maklumat lanjut mengenai Taiwan, boleh layari https://www.taiwan.net.my/ms/. – Mynewshub.TV

Loading...