AYER KEROH : Kerajaan Melaka bercadang membina sebuah lagi hospital negeri bagi menampung keperluan yang semakin meningkat ketika ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata sebuah kawasan seluas 24 hektar di Durian Tunggal, di sini sudah dikenal pasti bagi pembinaan hospital berkenaan.
“Pembinaan hospital baharu ini akan membabitkan kos kira-kira RM543 juta dan akan diiktiraf sebagai hospital negeri, manakala Hospital Melaka sedia ada akan dijadikan Hospital Daerah Melaka Tengah.
“Saya yakin pembinaan hospital baharu yang mempunyai kira-kira 500 katil ini, dapat menampung keperluan untuk jangka masa panjang,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Lim Ban Hong (BN-Kelebang) yang mencadangkan supaya hospital baharu dibina di Melaka pada Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15, di Seri Negeri di sini hari ini.
Sementara itu, Dr Muhamad Akmal berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan hospital kluster di dua hospital daerah membabitkan Jasin dan Alor Gajah dengan menempatkan doktor pakar.
Beliau berkata, jika sebelum ini doktor pakar kedua hospital berkenaan hanya berstatus doktor pelawat, tetapi kini mereka diangkat sebagai doktor pakar tetap bagi memenuhi permintaan dan keperluan semasa.
“Kita akan menempatkan seramai enam doktor pakar di Hospital Jasin dan empat di Hospital Alor Gajah. Langkah itu membolehkan pesakit di luar bandar supaya tidak lagi perlu ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan daripada doktor pakar, tetapi hanya perlu ke hospital daerah.
“Pada masa sama, kita juga bersetuju untuk melanjutkan waktu operasi pembedahan di Hospital Jasin sehingga 10 malam, berbanding waktu pejabat sebelum ini,” katanya.
Dr Muhamad Akmal turut mengumumkan pembinaan sebuah Kompleks Rawatan Ibu dan Anak (KLIBA) yang berharga kira-kira RM800 juta di bangunan Kolej Kerujurawatan Melaka, bersebelahan Hospital Melaka, di sini.
Katanya, pembinaan kompleks terbabit sudah mendapat kelulusan daripada kerajaan Persekutuan, namun masih menunggu kelulusan bajet daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.
“Pembinaan KLIBA itu dijangka bermula pada 2025 dan dijangka siap lima tahun kemudian.
“Apabila siap kelak, kompleks terbabit akan mempunyai 476 katil tambahan, sekali gus menampung kesesakan di Hospital Melaka ketika ini,” katanya.
-Berita Harian


