SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) agar tidak menyekat program Festival Bon Odori yang akan diadakan pada 16 Julai ini.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Jabatan itu dititah supaya tidak menghalang mana-mana individu daripada menghadiri program berkenaan.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata Sultan Selangor bertitah sedemikian ketika beliau menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan, hari ini, bagi membincangkan Festival Bon Odori yang akan diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic), di sini.
“Baginda tidak berkenan apa-apa keputusan atau ketetapan mengenai perkara seumpama ini disimpulkan dengan tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitian yang mendalam.
“Sultan Sharafuddin berpendirian, banyak budaya mempunyai kaitan dengan agama, tetapi tidak semestinya agama ada di dalam budaya. Malah baginda juga bertegas bahawa mengamalkan sesuatu perkara adalah berbeza dengan perbuatan melihat.
“Baginda juga tidak bimbang, jika akidah umat Islam kuat dan benar, ia akan mengetepikan sebarang iktikad dan amalan yang bertentangan dengan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Shahzihan memaklumkan baginda menitahkan semua perkara diputuskan dengan adil dan saksama berikutan kehidupan bermasyarakat dan kepercayaan yang pelbagai di Selangor.
Justeru, katanya, Sultan Selangor menitahkan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk hadir ke majlis itu bagi melihat sendiri apa yang berlaku dalam program terbabit.
“Baginda sendiri pernah hadir ke majlis ini beberapa tahun lalu dan tidak melihat sebarang perkara yang boleh merosakkan akidah umat Islam, melainkan ia satu program sosial pekerja industri milik syarikat Jepun yang banyak di negeri ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan umat Islam di negara ini dinasihatkan supaya tidak menyertai program Festival Bon Odori kerana ia mengandungi unsur agama lain.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapati program itu mempunyai unsur-unsur keagamaan lain.
BHonline-

