KUALA LUMPUR – Istilah inap desa dan ‘homestay’ menghangatkan seketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini, apabila Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim menegur seorang timbalan menteri kerana tidak menggunakan istilah bahasa Melayu itu.
Teguran itu dibuat ketika Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar, menjawab soalan Datuk Isa Ab Hamid mengenai jumlah usahawan kraf tangan dan pengusaha inap desa yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam jawapannya, Santhara menggunakan istilah ‘homestay’, berbanding inap desa yang sudah diiktiraf Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sekurang-kurangnya sejak lebih 12 tahun lalu.
Sebaik saja selesai menjawab soalan itu, Rais secara berlapik bertanyakan terjemahan ‘homestay’ dalam bahasa kebangsaan kepada Santhara, sebelum seorang Ahli Dewan Negara memaklumkan terjemahannya ialah inap desa.
Namun, ketika menjawab soalan tambahan Isa mengenai usaha kementerian meningkatkan pemasaran inap desa secara digital, Santhara tetap menggunakan perkataan ‘homestay’, sebelum Rais sekali lagi menegurnya.
“Tak ada sekali pun YB (Yang Berhormat) sebut inap desa (dalam jawapan).
“Saya bukan apa, inilah sebabnya bahasa kebangsaan kita luntur. Ada istilah, kita tidak pakai.
“Dalam hal ini, saya mohon kita sama-sama ingatkan kembali (untuk menggunakan bahasa kebangsaan),”katanya.
Terdahulu dalam jawapannya, Santhara memaklumkan setakat 31 Ogos lalu, seramai 150 daripada 6,220 usahawan kraf berdaftar memilih untuk bertukar kepada bidang lain, sama ada secara sementara atau kekal.
Katanya, pertukaran bidang itu antara lain kerana faktor usia, kesihatan, peluang dalam bidang lain dan cabaran dihadapi sepanjang tempoh penularan COVID-19.
Beliau turut memaklumkan, seramai 3,060 pengusaha berdaftar bagi program pengalaman inap desa di negara ini, namun rata-ratanya tidak begitu terkesan kerana masih memiliki pendapatan utama yang lain.
“Tidak dapat dinafikan mereka kehilangan peluang menjana pendapatan melalui program ini kerana aktiviti ‘homestay’ bergantung penuh pada kehadiran pelancong.
“Namun, pendapatan aktiviti ‘homestay’ ini adalah pendapatan tambahan kepada pengusaha, dengan mengambil kira kebanyakan mereka mempunyai sumber pendapatan utama yang lain,” katanya. – BH Online