KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) meminta lebih ramai individu tampil menjadi sukarelawan kesihatan bagi menyumbang kepakaran dan tenaga membantu usaha menangani penularan COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tenaga sukarelawan terbabit sangat diperlukan ketika ini untuk meringankan beban petugas kesihatan KKM, susulan lonjakan kes dan kematian wabak itu.

Beliau berkata, KKM memerlukan sukarelawan bagi tujuh jawatan, iaitu pegawai perubatan, pegawai pergigian, penolong pegawai perubatan, jururawat, pegawai kesihatan persekitaran, penolong pegawai kesihatan persekitaran dan juruteknologi makmal perubatan.
“KKM menyeru pembabitan sukarelawan kesihatan untuk membantu usaha menangani wabak COVID-19.
“Tenaga sukarelawan ini amat diperlu bagi meringankan beban dipikul petugas kesihatan kami di seluruh negara,” katanya menerusi Twitter beliau, hari ini.
Beberapa syarat digariskan untuk menjadi sukarelawan kesihatan KKM, antara lain berusia antara 18 hingga 60 tahun, sihat dan cergas fizikal serta mental, dan tidak mengandung.
Selain itu, perlu mendapat kebenaran majikan bagi mereka yang bekerja, bukan anggota KKM, sanggup bertugas di lokasi memerlukan dan tiada sejarah kontak rapat dengan pesakit COVID-19 dalam tempoh 14 hari.
Bagi sukarelawan, KKM tidak menyediakan pengangkutan, penginapan, makanan atau elaun dan gaji, sebaliknya segala kos ditanggung sendiri.
Dr Noor Hisham berkata, individu berminat untuk berbakti sebagai sukarelawan perlu melengkapkan borang pada pautan https://forms.gle/ktiuH2mjRePBCZLm9.
“Sebarang pertanyaan lanjut, sila e-mel ke: [email protected],” katanya. – BH Online

