KUALA LUMPUR – Penyanyi veteran, Datuk Dahlan Zainuddin meninggal dunia pada pukul 9.48 malam tadi di Hospital Selayang, Selangor selepas empat hari tidak sedarkan diri akibat diserang strok pada petang Sabtu lalu.
Berita pemergian penyanyi berusia 78 tahun itu disahkan oleh isterinya, Datin Effa Rizan.
Allahyarham yang popular sekitar tahun 1970-an menerusi lagu Kisah Seorang Biduan meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak.
Jenazah akan dibawa ke Masjid Bangsar untuk dimandikan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara selepas solat Zohor.
Menurut Effa, Allahyarham tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri kerana diserang strok buat kali kedua pada Sabtu lalu sebelum dikejarkan ke Hospital Selayang.
Kali pertama penyanyi itu diserang strok adalah pada 2016 ketika sedang berada di sebuah majlis berbuka puasa di Perlis.
Tahun sebelumnya, Allahyarham juga pernah dimasukkan ke Hospital Ampang, Selangor selama seminggu kerana jangkitan paru-paru.
Selain menyanyi, Allahyarham juga pernah membintangi filem Kisah Seorang Biduan bersama Gaya Zakry, Jeffry Din dan Dian P.Ramlee pada tahun 1979.